TP1M pusat lulus lewat, penduduk guna wang sendiri baiki rumah – Exco

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : TAM POH GUEK

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar dan Desa & Perumahan, Jagdeep Singh Deo sekali lagi menyatakan kekesalan terhadap Unit Penyelarasan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) yang juga penyelaras Tabung Perumahan 1Malaysia (TP1M) ekoran kelewatan meluluskan permohonan dana-dana tersebut membabitkan (permohonan) negeri Pulau Pinang sehinggakan para penduduk terlibat terpaksa menggunakan wang sendiri bagi membuat penyelenggaraan unit kediaman masing-masing.

Situasi berkenaan terjadi membabitkan sebuah pangsapuri di Sungai Pinang iaitu penduduk yang tidak tahan dengan kesengsaraan ekoran kerosakan bumbung yang sering kali terjadi akhirnya nekad menggunakan peruntukan sendiri berjumlah RM31,000 untuk tujuan pembaikan.

Baki kos pembaikan berjumlah RM124,000 ditanggung Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, selepas projek terbabit (baiki bumbung) siap, tiba-tiba, permohonan bantuan TP1M diluluskan dan ia (permohonan asal) kemudian dikeluarkan daripada senarai bantuan tanpa sebarang pampasan semula.

“Justeru, saya menuntut ICU supaya dapat membayar balik wang penduduk-penduduk  berkenaan yang sudah membaiki kerosakan bumbung menggunakan wang mereka sendiri,’’ tegasnya pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan HAPPY! Kerajaan Negeri Kepada Lima Badan Pengurusan Rumah Pangsa di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang, Lim Siew Khim.

Badan Pengurusan (MC) Taman Emas Bayan Lepas, MC Taman Teluk Kumbar, MC bersama Pangsapuri Kos Sederhana Rendah Indah Fasa 1C, Teluk Air Tawar, MC bersama Rumah Pangsa Seri Bayu, Bayan Lepas dan MC bersama Rumah Pangsa Sri Merpati, Bayan Lepas merupakan lima badan pengurusan rumah pangsa yang menerima cek bantuan HAPPY! berkaitan.

Keseluruhan jumlah disampaikan adalah RM708,620 untuk tujuan membaiki dan membaik pulih kemudahan serta kelengkapan blok masing-masing seperti bumbung, tangki air, cat, lif, struktur dan sebagainya.

Tambah Jagdeep, Kerajaan Negeri lazimnya amat mengambil berat bantuan perumahan membabitkan rakyat Pulau Pinang.

“Kita (Kerajaan Negeri) faham beban saban hari terpaksa ditanggung penduduk di pangsapuri kos sederhana rendah dan kos rendah ekoran beberapa masalah kritikal yang dihadapi serta perlu mendapat bantuan segera untuk pembaikan serta penyelenggaraan tanpa kompromi,” ujarnya.

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri tiada masalah untuk meluluskan HAPPY! pada kadar secepat mungkin kerana peruntukan RM50 juta telah disediakan untuk tujuan terbabit.

“Namun, agak malang sedikit bagi negeri Pulau Pinang kerana daripada 119 permohonan untuk TP1M sejak tahun 2012, hanya 14 diluluskan dengan 11 daripada jumlah kelulusan tersebut adalah untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang (Barisan Nasional) sahaja dan baki tiga lagi barulah meliputi DUN Pakatan Rakyat (PR),’’ ujar beliau.

HAPPY! merupakan bantuan 30 peratus atau 10 peratus dana Kerajaan Negeri bagi penyelenggaraan perumahan kos rendah dan sederhana rendah selepas peruntukan TP1M (70 peratus) diluluskan ICU.

Sementara itu, pada satu majlis berasingan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa adalah menjadi keutamaan Kerajaan Negeri berhubung penyediaan unit-unit rumah mampu milik kepada rakyat negeri ini.

“Selain penyediaan perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah, Kerajaan Negeri telahpun memperkenalkan kategori baru iaitu perumahan mampu milik.

“Had siling harga perumahan mampu milik di bahagian pulau ditetapkan pada RM400,000 dan Seberang Perai, RM250,000.

“Bersama-sama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), pada peringkat ini, sebanyak 12 projek perumahan mampu milik di bahagian pulau dan Seberang Perai telahpun dirancang merangkumi 22, 575 unit jenis kos rendah, sederhana rendah, dan mampu milik,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Program Pemilikan Perumahan Mampu-Milik ‘Mission Home Possible‘ di Komtar baru-baru ini.

Lanjutan daripada program tersebut, Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri akan menjalankan roadshow membabitkan setiap Parlimen bagi membolehkan rakyat Pulau Pinang membuat pendaftaran unit rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik; kemaskini maklumat pendaftaran dan penyerahan borang permohonan yang lengkap.