RM10,000 ganjaran dedah sindiket jual beli rumah

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mengalu-alukan mana-mana penjawat awam yang mempunyai maklumat berhubung sindiket penipuan jual beli rumah menawarkan cagaran bagi unit-unit rumah dibeli supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, ganjaran berjumlah RM10,000 dan Anugerah Integriti akan diberikan kepada mereka yang bekerjasama dalam membantu siasatan polis sehingga tertangkapnya pesalahlaku sama ada dalam kes penyalahgunaan kuasa, penipuan atau rasuah.

“Kita (Kerajaan Negeri) amat hargai kerjasama yang diberikan dan pada masa sama juga, saya menyeru agar pihak polis dapat menjalankan siasatan tanpa toleransi dengan tindakan jenayah sedemikian sekiranya ia melibatkan penjawat awam.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri telah mewujudkan pengiktirafan sedemikian melalui Pekeliling Kewangan Negeri Bil. 7 Tahun 2009 di bawah Anugerah Integriti Negeri Pulau Pinang bagi mempertingkat dan mengukuhkan integriti dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.

“Kita sentiasa menitikberatkan soal CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) dalam perkhidmatan awam dan sekiranya penjawat awam melanggar etika perkhidmatan awam, maka sewajarnya tindakan mandatori diambil,” jelasnya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Turut sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee.

Mengikut rekod, sehingga hari ini, hanya seorang sahaja yang menerima Anugerah Integriti iaitu mantan Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, YAA Datuk Yusof Musa yang berjaya membongkar penyelewengan seorang kakitangan Mahkamah Syariah melibatkan sejumlah wang RM500,000.

Terdahulu, pada 22 Julai lalu, satu laporan polis telah dibuat oleh salah seorang wakil Aspen Vision Ventures Sdn. Bhd. (anak syarikat Aspen Group – AG), pemaju projek perumahan Tri Pinnacle, Mount Erskine dekat Tanjung Tokong rentetan pihak AG menerima panggilan orang awam bertanya status pembelian unit rumah setelah dikatakan membayar sejumlah wang antara RM10,000 ke RM30,000 kepada individu yang mendakwa dirinya sebagai Pegawai dari Bahagian Perumahan.

“Orang awam perlu tahu setiap prosedur (untuk mendapatkan rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik) di Bahagian Perumahan adalah jelas seperti yang terdapat dalam borang PN-1.

“Pemohon yang kemukakan permohonan perlu melalui semakan oleh Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) dan hanya yang memerlukan dan layak akan dipilih. Jadi tidak timbul soal perlu membayar sejumlah wang sebagai jaminan untuk mendapatkan unit,” tegas beliau.