Pembaikan lif hadiah Kerajaan Negeri, wakil rakyat kepada penduduk

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : TAN KEAN MING

TANJUNG BUNGA – Hasil keprihatinan Kerajaan Negeri, 1,600 penduduk Apartment Mutiara & Arked menarik nafas lega dengan siapnya pembaikan sebuah unit lif baharu di blok C dan D di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng ketika berucap pada majlis perasmian lif baharu tersebut memaklumkan bahawa kos RM77,000 adalah ditanggung sepenuhnya oleh
Kerajaan Negeri.

“RM77,000 ini merupakan ‘hadiah’ Kerajaan Negeri kepada penduduk sini, dan anda amat bertuah kerana mempunyai seorang wakil rakyat prihatin iaitu Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang bekerja keras demi memastikan rakyat di kawasannya dapat tinggal dengan selesa.

“Tahniah kepada Zairil kerana menjalankan tanggungjawab yang diberikan sebaiknya dan diharap menjadi contoh kepada semua wakil rakyat yang lain secara keseluruhannya,” katanya sempena Majlis Perasmian Pembukaan Lif Apartment Mutiara & Arked, Batu Ferringhi 3 Februari lalu.

Maklum Guan Eng, Kerajaan Negeri menanggung kos projek sebanyak 60 peratus, manakala bakinya ditanggung dengan peruntukan Zairil.

Hadir sama, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chris Lee Chun Kit dan Pengerusi Badan Pengurusan Apartment Mutiara & Arked, Ooi Ah Seng.

Guan Eng seterusnya memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sedang dalam perancangan membina jalan empat lorong menghubungkan Batu Ferringhi berikutan laluan sedia ada sudah terlalu sibuk.

“Belakang bukit ini kita (Kerajaan Negeri) nak buat jalan baru, jalan lagi bagus ada empat lorong dan yang paling penting ianya tak ada tol serta percuma kepada rakyat Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Dalam pada itu, Jagdeep memberitahu, projek pembaikan lif yang diluluskan pada Oktober tahun lalu berjaya disiapkan pada 15 Januari 2018.

Tambahnya, sehingga Januari 2018, Kerajaan Negeri meluluskan 105 projek naik taraf serta membaiki kemudahankemudahan melibatkan lif, penukaran bumbung, cat semula, penurapan jalan, pembinaan tembok dan lain-lain bagi projek perumahan kos rendah serta sederhana rendah di negeri ini.