Cadang tubuh Mahkamah Munisipal urus kes PBT

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) disarankan agar menubuhkan Mahkamah Munisipal bagi mengendalikan kes-kes berkaitan majlis yang kini dilihat semakin tertunggak dan membebankan Mahkamah Majistret, ujar Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan, S. Sukumar ketika membentangkan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Biasa Majlis di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, mengikut Akta Kerajaan Tempatan, Akta Jalan, Parit dan Bangunan dan Akta Perancangan Bandar dan Desa, kes- kes melibatkan PBT adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Majistret kini.

“Namun, sehingga kini, secara puratanya, boleh dikatakan hanya separuh sahaja kompaun-kompaun dibayar pesalah dan bakinya masih tertunggak dan perlu diambil tindakan mahkamah berkaitan.

“Ini secara tidak langsung menambahkan beban Mahkamah Majistret kerana institusi berkenaan turut bertanggjawab ke atas kes-kes agensi kerajaan yang lain,” ujarnya.

Tambah Sukumar, Undang-undang Kecil yang digubal MPPP berlipat ganda banyaknya berbanding dengan akta diluluskan Parlimen melibatkan PBT.

“Sudah semestinya perlaksanaan penguatkuasaan Undang-undang Kecil ini akan melalui tindakan Mahkamah Majistret.

“Bahkan, bukan itu sahaja, selain daripada Jabatan Penguatkuasa MPPP, jabatan- jabatan lain seperti Kesihatan, Kejuruteraan, Bangunan, Perancang dan lain-lain juga semakin meningkat permintaannya untuk memfailkan kes masing-masing di mahkamah,’’ tegas beliau.

Secara tidak langsung, Sukumar menyatakan bahawa situasi tersebut menyumbang kepada peningkatan kes-kes saman MPPP yang semakin tertunggak.

“Justeru itu, saya merasakan sudah sampai masanya menubuhkan Mahkamah Munisipal MPPP bagi mengendalikan kes-kes PBT berkaitan,” ujar beliau.