WATAK mesra Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang atau mesra disapa ‘Ah Jo’ bukanlah asing bagi komuniti di sini.
Sejak dipilih menyandang wakil rakyat pada tahun 2018, beliau dikenali sebagai pemimpin yang sentiasa komited memperjuangkan kebajikan penduduk setempat.
Ketika ditemui melalui segmen Coretan YB (Yang Berhormat), Soon Siang yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selama enam penggal, berkongsi aspirasi serta pencapaian sepanjang perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.
Membuka bicara, beliau menyatakan kepada minatnya terhadap politik bermula sejak remaja lagi.
“Apabila saya rasa sudah bersedia, saya kembali berkhidmat untuk masyarakat di tempat asal saya sendiri,” katanya membuka bicara kepada wartawan pelatih Buletin Mutiara, M. DANESWARAN, baru-baru ini.

Pembangunan Infrastruktur
Antara pencapaian utama yang diberi penekanan oleh Soon Siang adalah pembangunan infrastruktur yang menyeluruh dan strategik untuk manfaat jangka panjang penduduk Air Itam.
Projek paling signifikan adalah terlibat dengan projek pembinaan Lebuhraya Lim Chong Eu – Air Itam yang dijangka memendekkan masa perjalanan daripada 40 minit kepada 10 minit.
“Projek ini sangat penting kerana ia akan memudahkan aliran trafik dari Jambatan ke Air Itam.
“Ia bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan, tetapi juga meningkatkan kecekapan pengangkutan harian,” jelas beliau.
Selain itu, satu lagi pencapaian yang memberi impak besar ialah usaha beliau menukar kawasan tanah kosong kepada ruang awam yang memberi nilai kepada masyarakat, antaranya Taman Kejiranan Desa Mawar.
“Dahulu kawasan itu hanya tanah kosong yang terbiar tetapi dengan kerjasama MBPP, kita berjaya jadikan ia taman kejiranan yang lengkap dengan laluan pejalan kaki, landskap dan ruang permainan,” ulasnya lanjut.
Tambah beliau lagi, perancangan masa depan juga melibatkan usaha menambah kapasiti parkir di kawasan tumpuan seperti Bukit Bendera.
“Kita tahu tempat seperti Bukit Bendera menjadi tumpuan pelancong dan pengunjung tempatan, jadi kami sedang rancang penyelesaian parkir yang lebih menyeluruh agar kesesakan dapat dikurangkan, termasuk dengan pembinaan tempat letak kereta baharu,” katanya.

Kesejahteraan Sosial
Bagi Soon Siang, pembangunan masyarakat tidak hanya terletak pada fizikal semata-mata. Beliau turut memberi fokus kepada bantuan kebajikan, terutama kepada golongan kurang berkemampuan.
“Setiap tahun, pasukan saya bantu banyak keluarga dalam bentuk barangan keperluan asas, bantuan pendaftaran pelajar dan juga sumbangan lampin pakai buang kepada warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Bantuan seperti lampin pakai buang ada yang diberikan secara percuma untuk tempoh setahun penuh selepas melalui proses permohonan dan tapisan tertentu.
“Saya juga aktif meninjau sendiri keadaan komuniti dan menerima maklum balas terus daripada rakyat, justeru, saya turun padang dan dengar sendiri masalah mereka,” jelas beliau.
Bantuan ini, menurut beliau, diagihkan bukan sahaja secara berkala tetapi juga melalui program khas seperti sempena perayaan dan musim persekolahan.

Perkasa Komuniti
Soon Siang juga dikenali dengan pendekatannya yang inklusif, memastikan semua lapisan masyarakat merasai sentuhan perkhidmatannya.
“Kita bukan sekadar bantu, tapi kita mahu komuniti rasa dihargai, sebab itu kita adakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) naik taraf landskap, mural, bengkel penulisan lagu, pertandingan dan pelbagai lagi.
“Dibawah inisiatif landskap ini, beberapa program telah dijalankan termasuk menghiasi bulatan utama di Air Itam dengan elemen hiasan yang menarik, serta penghasilan mural yang mencerminkan identiti tempatan,” maklum beliau.
Soon Siang turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atas tindakan pantas mereka dalam menyelesaikan sebarang aduan dan masalah yang dibangkitkan oleh penduduk.

Promosi Makanan Tempatan dan Ekonomi Setempat
Satu lagi inisiatif yang tidak kurang pentingnya ialah usaha Soon Siang untuk mempromosikan makanan tempatan Air Itam kepada pelancong dan pengunjung luar.
“Saya mahu orang luar datang dan rasa sendiri keunikan Laksa Air Itam, Duck Rice, dan pelbagai juadah tempatan lain.
Ini bukan sahaja memelihara budaya kita, tapi juga membantu menjana ekonomi penduduk setempat,” jelasnya yang berhasrat melihat Air Itam turut terkenal dengan makanan tempatan.
Tambahnya, lokasi strategik Air Itam kini turut menarik minat banyak jenama francais besar untuk melabur di sini.
Selain itu, kewujudan hotel di tengah Air Itam juga memberi kemudahan kepada pelancong serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Cabaran dan Harapan Masa Depan
Ketika ditanya mengenai cabaran sepanjang perkhidmatannya, Soon Siang mengakui cabaran utama dalam membangunkan komuniti adalah mengekalkan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum.
“Kurang persefahaman kadangkala menjejaskan keharmonian, tapi kami atasinya secara memberi peluang yang sama.
Sebagai perancangan masa depan, saya merancang pelbagai program seperti flea market, program mural, servis motosikal sempena Hari Kebangsaan dan pertandingan lagu khas Air Itam ciptaan anak tempatan,” katanya sambil berharap Air Itam terus berkembang sebagai kawasan yang maju, mesra komuniti dan kaya dengan nilai sejarah.