Transparent Ambulance Trainer bukti kehebatan inovasi APM Pulau Pinang

Admin
img 20260818 wa0052

KREATIVITI dan inovasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang dalam memperkasa kaedah latihan menyelamat membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) pada Anugerah Inovasi Pertahanan Awam (AIPA) peringkat kebangsaan menerusi inovasi Transparent Ambulance Trainer.

Kejayaan itu cukup bermakna buat APM Pulau Pinang kerana ini merupakan kemenangan pertama selepas sebanyak 18 kali menyertai pertandingan inovasi sebelum ini.

Pasukan yang mewakili Pulau Mutiara itu terdiri daripada 10 orang ahli yang terdiri dari pegawai dan anggota APM dari seluruh daerah di Pulau Pinang yang diketuai oleh Kapten (PA) Salman Rahimi Manaf, Mejar (PA) Muhammad Zakhir Abd. Rahman, Kapten (PA) Fadhil Fahmi Zaini, Leftenan Muda (PA) Syukran Ahmad Amir Shaharuddin, Muhammad Syauqi Shafee, Leftenan Muda (PA) Muhammad Faizzol Ibrahim, Leftenan Muda (PA) Nor Isma Husna Mohd. Isa, Leftenan Muda (PA) Solehin Azman Hamid, Leftenan Muda (PA) Adi Hamizi Ayub, Maisarah Faiqah Mohd. Faizal.

Projek tersebut juga disokong sepenuhnya oleh Pengarah APM Pulau Pinang, Kolonel (PA) Lokman Hakim Abdul Rahman serta dua penasihat, Major Chea C W dan M. Paramaguru Balan @ Ramm.

img 20260818 wa0045

Menerusi kejayaan tersebut, pasukan berkenaan turut membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.

Pegawai Pasukan Pejabat Daerah Pertahanan Awam Seberang Perai Utara (SPU) yang juga jurucakap pasukan, LEFTENAN MUDA (PA) SYUKRAN AHMAD AMIR SHAHARUDDIN berkata, kejayaan itu membuktikan budaya inovasi dalam kalangan warga APM mampu menghasilkan penyelesaian praktikal yang bukan sahaja memudahkan proses latihan, malah memberi manfaat lebih luas kepada operasi menyelamat.

img 20260818 wa0051
PA Syukran Ahmad Amir Shaharuddin.

Menurut beliau, Transparent Ambulance Trainer tercetus daripada keperluan menangani kekangan penggunaan ambulans sebenar sebagai medium latihan, khususnya dari segi ruang yang terhad serta keperluan memastikan ambulans sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas kecemasan.

“Ambulans sebenar mempunyai ruang kabin yang kecil dan hanya boleh memuatkan kira-kira empat orang. Keadaan ini menyebabkan jurulatih menghadapi kesukaran untuk memantau peserta secara menyeluruh ketika latihan.

“Justeru, kita mengambil elemen penting dalam ambulans seperti stretcher dan kabin untuk dijadikan modul latihan terbuka yang mengekalkan konsep dan ketinggian ruang ambulans sebenar,” katanya dalam wawancara khas bersama penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, MUHAMAD IQBAL HAMDAN mengenai inovasi berkenaan di Pejabat Pertahanan Awam Daerah Seberang Perai Utara baru-baru ini.

Latihan lebih terbuka, sehingga 200 peserta

Syukran Ahmad berkata, Transparent Ambulance Trainer dibangunkan bagi membolehkan latihan dijalankan dalam persekitaran yang lebih terbuka tanpa mengorbankan elemen penting latihan di dalam ambulans.

Katanya, pendekatan tersebut membolehkan sehingga kira-kira 200 peserta mengikuti latihan dalam satu-satu sesi, berbanding penggunaan ambulans sebenar yang mempunyai kapasiti dan ruang pergerakan sangat terhad.

“Jurulatih juga boleh memantau pergerakan peserta dengan lebih dekat dan berkesan, sekali gus  menjadikan proses pemindahan dan pengendalian mangsa lebih mudah untuk diperhatikan serta diperbetulkan sekiranya terdapat kesilapan.

“Dari segi keberkesanan, kesannya adalah sama seperti latihan rawatan di dalam kabin ambulans, tetapi jumlah sumber manusia yang boleh dilatih pada satu-satu masa adalah jauh lebih ramai,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu juga membantu memendekkan tempoh latihan yang sebelum ini boleh mengambil masa sehingga tiga hari bergantung kepada modul dan keperluan latihan.

img 20260818 wa0036

Kurangkan kebergantungan kepada ambulans sebenar

Syukran Ahmad berkata, penggunaan ambulans sebenar untuk tujuan latihan turut mempunyai implikasi terhadap operasi APM kerana kenderaan tersebut sepatutnya diutamakan bagi tugas kecemasan dan menyelamat nyawa.

“Apabila ambulans digunakan untuk latihan, secara tidak langsung boleh menjejaskan kesiapsiagaan sekiranya berlaku insiden kecemasan pada masa sama.

“Dengan adanya Transparent Ambulance Trainer, kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada ambulans sebenar untuk tujuan latihan, sekali gus memastikan aset operasi dapat digunakan apabila diperlukan,” katanya.

Selain menjimatkan masa dan kos, inovasi berkenaan turut mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar apabila mengurangkan penggunaan bahan api yang diperlukan untuk menggerakkan ambulans semata-mata bagi tujuan latihan.

“Ini bukan sahaja menjimatkan kos operasi, malah membantu mengurangkan pelepasan karbon dan penggunaan bahan api.

“Kita mahu latihan yang lebih efisien tetapi dalam masa sama mengambil kira ekosistem dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

img 20260818 wa0049

Dibina dalam tempoh dua bulan

Mengulas lanjut, Syukran Ahmad memberitahu bahawa pembinaan Transparent Ambulance Trainer mengambil masa kira-kira dua bulan bermula Oktober 2025.

Katanya, proses pembinaan bermula dengan kajian terperinci berkaitan bahan yang sesuai untuk membina kabin ambulans, selain memastikan bahan yang digunakan mempunyai kualiti dan ketahanan bersesuaian dengan keperluan latihan.

“Cabaran utama adalah untuk memastikan struktur yang dibina benar-benar memenuhi konsep ambulans sebenar, terutama dari aspek ketinggian, susun atur dan ruang pergerakan.

“Kita tidak mahu menghasilkan sekadar sebuah replika, tetapi satu alat latihan yang boleh digunakan secara praktikal dan memberikan pengalaman hampir sama seperti latihan di dalam ambulans,” katanya.

Menurut beliau, inovasi tersebut bukan lagi sekadar prototaip kerana telah digunakan sebagai bahan latihan dan setakat ini tiga siri latihan pada peringkat komuniti telah dilaksanakan menggunakan Transparent Ambulance Trainer.

Berpotensi diperluas kepada agensi lain

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) KAPTEN (PA) MOHD. FADHIL FAHMI ZAINI berkata, Transparent Ambulance Trainer mempunyai potensi besar untuk diperluaskan penggunaannya kepada agensi lain yang terlibat dalam pengurusan insiden dan perkhidmatan kecemasan.

img 20260818 wa0048
PA Mohd. Fadhil Fahmi Zaini.

Katanya, produk berkenaan ketika ini merupakan satu-satunya unit yang dibangunkan dan digunakan di APM Pulau Pinang, namun pihaknya merancang untuk memperluaskan penggunaannya termasuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Produk ini mempunyai potensi untuk digunakan bagi latihan pelbagai peringkat umur, termasuk kanak-kanak berusia enam tahun dan ke atas, bergantung kepada modul latihan.

“Konsepnya juga boleh memberi pengalaman kepada masyarakat tentang cabaran sebenar mengendalikan stretcher, memindahkan mangsa dan melakukan proses penarikan dalam ruang yang sempit,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman sedemikian amat penting kerana pengendalian mangsa sebenar mempunyai cabaran tersendiri, terutama apabila mengambil kira perbezaan berat dan saiz mangsa.

Idea lahir daripada masalah sebenar

Menurut Mohd. Fadhil lagi, Transparent Ambulance Trainer direka berdasarkan masalah sebenar yang dihadapi jurulatih dan anggota APM ketika menjalankan latihan.

Dalam situasi sebenar, pengendalian mangsa di dalam ambulans memerlukan koordinasi yang tepat dalam ruang yang terhad.

Justeru, beliau berkata modul terbuka yang dibangunkan itu membolehkan peserta mempelajari teknik sama dengan ruang yang lebih mudah diakses dan dipantau.

“Ini adalah inovasi yang lahir daripada masalah yang mana kita melihat kekangan ruang, masa, jumlah peserta serta keperluan memastikan ambulans sentiasa tersedia untuk kecemasan.

“Daripada masalah tersebut, kita cuba mencari penyelesaian yang lebih mudah, selamat, menjimatkan kos dan pada masa sama meningkatkan keberkesanan latihan,” katanya.

Menariknya, projek tersebut dibangunkan dengan kos kira-kira RM10,000, melibatkan dua komponen utama iaitu struktur ambulans dan stretcher.

Walaupun kosnya relatif rendah berbanding keperluan mendapatkan atau mengubah suai ambulans sebenar untuk tujuan latihan, pasukan projek menekankan penggunaan bahan berkualiti bagi memastikan keselamatan serta ketahanan produk.

Pasukan turut menjalankan kajian dan mendapatkan pandangan berkaitan keperluan latihan daripada pusat latihan perubatan bagi memastikan reka bentuk yang dihasilkan bersesuaian dengan situasi latihan sebenar.

img 20260818 wa0045

Bakal dilindungi sebagai harta intelek

Bagi memastikan inovasi tersebut terus dilindungi dan dikembangkan, APM Pulau Pinang merancang untuk mendaftarkan Transparent Ambulance Trainer sebagai harta intelek dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Beliau berkata, langkah itu penting bagi menjaga integriti idea yang dihasilkan warga APM Pulau Pinang selain membuka ruang untuk produk berkenaan dikembangkan dan dikomersialkan pada masa hadapan.

“Kita tidak mahu idea dan hasil usaha anggota yang mengambil masa, tenaga serta komitmen ini hilang begitu sahaja.

“APM Pulau Pinang akan melihat proses pendaftaran harta intelek dengan MyIPO dan melantik konsultan yang bersesuaian bagi membantu kita meneroka potensi produk ini untuk dipasarkan dan dikomersialkan,” katanya.

Beliau berkata produk berkenaan akan menjadi milik APM Pulau Pinang dan usaha melindungi harta intelek itu juga penting bagi memastikan inovasi dapat dikembangkan secara lebih tersusun.

Walaupun telah mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan, Mohd. Fadhil menegaskan tidak melihat pencapaian tersebut sebagai titik akhir.

Sebaliknya, beberapa aspek masih akan ditambah baik termasuk meningkatkan dokumentasi projek serta membuat semakan dan pengesahan semula terhadap peralatan yang digunakan.

“Produk ini masih mempunyai ruang untuk diperbaiki. Dokumentasi perlu diperkemaskan dan kita juga mahu membuat semakan serta pengesahan semula terhadap peralatan supaya ia benar-benar memenuhi keperluan latihan.

“Selepas itu, kita mahu membawa produk sama ke pertandingan inovasi yang lebih tinggi,” katanya lagi.

img 20260818 wa0042

Sasar Anugerah Inovasi peringkat JPM

Susulan kejayaan di AIPA, pasukan tersebut kini menyasarkan penyertaan dalam Anugerah Inovasi peringkat Jabatan Perdana Menteri sebagai kesinambungan kepada pencapaian yang diraih.

Menurut pasukan projek, kejayaan pertama selepas 18 penyertaan dalam pertandingan inovasi memberikan motivasi besar kepada anggota APM Pulau Pinang untuk terus menghasilkan inovasi baharu.

Mohd. Fadhil turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota yang terlibat, khususnya Pegawai Pertahanan Awam Daerah SPT dan SPU, atas komitmen serta kesungguhan menjayakan projek tersebut.

“Projek ini bukan hasil seorang individu, sebaliknya melibatkan idea, tenaga, masa dan komitmen ramai pihak.

“Setiap sumbangan itu sangat bernilai dan saya amat menghargai usaha pegawai serta anggota yang tidak berputus asa sehingga kita berjaya menghasilkan produk yang akhirnya mengharumkan nama APM Pulau Pinang di peringkat kebangsaan,” katanya.

img 20260818 wa0032

Titik perubahan dalam latihan menyelamat

Bagi APM Pulau Pinang, inovasi tersebut bukan sekadar pencapaian dalam pertandingan, sebaliknya dilihat sebagai satu titik perubahan dalam pendekatan latihan anggota dan komuniti.

Dengan mengambil kira statistik kemalangan yang tinggi di Pulau Pinang serta keperluan memperkukuh keupayaan tindak balas kecemasan, latihan yang lebih pantas, praktikal dan berkesan amat diperlukan.

“Matlamat utama APM adalah menyelamatkan nyawa, jadi, setiap inovasi yang kita hasilkan mesti kembali kepada matlamat tersebut.

“Kita berharap Transparent Ambulance Trainer dapat membantu anggota menguasai kemahiran dengan lebih baik, mengurangkan masalah latihan dan pada masa sama mengurangkan kebergantungan kepada ambulans sebenar,” kata Mohd. Fadhil.

Inovasi tersebut juga boleh dipamerkan kepada orang awam sebagai medium pendidikan dan kesedaran mengenai cabaran operasi menyelamat, khususnya ketika mengendalikan mangsa dalam ruang terhad.

Dengan hanya satu unit Transparent Ambulance Trainer dihasilkan setakat ini, APM Pulau Pinang melihat inovasi berkenaan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan kepada lebih banyak unit, agensi dan komuniti pada masa akan datang.

Daripada sebuah idea yang lahir daripada kekangan ruang dan latihan, Transparent Ambulance Trainer kini menjadi bukti bahawa inovasi tidak semestinya memerlukan kos yang besar untuk menghasilkan impak maksimum, sebaliknya bermula daripada keberanian mengenal pasti masalah, kesungguhan mencari penyelesaian dan komitmen untuk menjadikan latihan menyelamat lebih cekap, selamat serta berkesan.