Trend penghasilan sampah makin membimbangkan

SEBERANG JAYA – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud melahirkan kebimbangan terhadap trend penghasilan sampah di negeri ini yang dilihat semakin meningkat.

Beliau berkata, secara keseluruhannya pada tahun 2019 kadar penghasilan sampah menunjukkan peningkatan sehingga 15 peratus berbanding lima peratus pada tahun sebelumnya.

Rozali Mohamud bergambar kenang-kenangan bersama-sama para pemenang pertandingan Taman Bersih dan Kampung Bersih dekat Menara Bandaraya pagi tadi.

“MBSP menyasarkan pengurangan penghasilan sampah secara per kapita sebanyak 50 peratus pada tahun 2022 iaitu daripada 1.6 kilogram (kg) kepada 0.8 kg bagi seorang penduduk setiap hari.

“Bagaimanapun, jika dilihat secara keseluruhan peningkatan penghasilan sampah sepatutnya tidak boleh melebihi lima peratus memandangkan pertambahan penduduk hanya sekitar 2.3 peratus.

“Apa yang berlaku pada tahun 2019 adalah peningkatan sebanyak 15 peratus yang didapati berpunca daripada sampah industri kerana sampah domestik menunjukkan trend mendatar,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang bagi pertandingan Taman Bersih dan Kampung Bersih dekat Menara Bandaraya di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Rozali menegaskan bahawa pihaknya tidak teragak-agak untuk melaksanakan ‘polluters pay policy’ iaitu mengenakan bayaran pada kadar tertentu kepada pihak-pihak industri yang mengasilkan sampah melebihi lima peratus pada 2021.

Wakil pemenang bagi kedua-dua kategori menunjukkan sijil penghargaan yang diterima.

“Kita telah mengeluarkan surat amaran kepada pihak industri pada Ogos lalu dan berharap agar mereka mengambil serius mengenai perkara ini,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Rozali turut menyampaikan hadiah kepada empat pemenang bagi pertandingan Taman Bersih dan Kampung Bersih.

Taman Orkid Permai dipilih sebagai johan bagi kategori Taman Bersih manakala Kg baru Alma, Bukit Minyak pula johan bagi kategoti Kampung Bersih.

Setiap pemenang masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 berserta produk upcycle bernilai RM350 dan sijil.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD