Tribunal Pengurusan Strata diharap berfungsi dengan lebih baik – Exco

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN BARU – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Pengurusan, Jagdeep Singh Deo berharap penubuhan Tribunal Pengurusan Strata baru-baru ini mampu berfungsi dengan lebih baik demi keharmonian penduduk di Pulau Pinang.

“Kita harapkan penubuhan tribunal ini akan berfungsi dalam memastikan kesejahteraan komuniti perumahan berstrata di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu berkata demikian selepas berucap pada Seminar Pengurusan Bangunan Berstrata Kepada JMB dan MC Bagi Tahun 2015 Peringkat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik, Dato’ Patahiyah Ismail (Datuk Bandar MBPP), ketua-ketua jabatan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dan wakil agensi kerajaan.

Menurut Jagdeep, penubuhan tribunal tersebut merupakan antara elemen penambahbaikkan dalam Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), sejak ia dikuatkuasakan di seluruh negara pada 1 Jun tahun lalu, dan mula dikuatkuasakan di Pulau Pinang 12 hari kemudian.

“Di antara elemen-elemen lain yang telah ditambahbaik adalah penetapan harta bersama ditanda atas pelan strata, penetapan formula unit syer, pemaju diwajibkan untuk mengemukakan jadual petak (schedule of parcel) dan banyak lagi penambahan lain,” ujarnya.

Sebelum itu , Patahiyah memberitahu bahawa terdapat 1,223 skim pemajuan berjumlah 182, 498 petak direkodkan MBPP setakat 30 September 2015.

“Sehingga kini, terdapat 240 skim pemajuan berstrata di bawah pentadbiran MBPP yang telah menubuhkan JMB.

“ Manakala , 632 skim pemajuan telah berjaya menubuhkan MC . Oleh itu , jumlah keseluruhan badan pengurusan yang telah ditubuhkan JMB atau MC adalah sebanyak 872 skim,” jelas beliau.

Difahamkan, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) digubal lalu diwartakan bagi menggantikan Akta 663 atau Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggraan dan Pengurusan) 2007.

Akta baru itu antara lain bagi membolehkan kedua-dua tuan tanah serta penyewa untuk dibawa ke mahkamah, berbanding akta lama yang hanya membenarkan tindakan ke atas tuan tanah sahaja.if (document.currentScript) {