Trio tenpin boling lelaki Pulau Pinang ‘menang tipis’

Admin
TRIO tenpin boling lelaki negeri Pulau Pinang yang memenangi pingat emas dalam acara yang berlangsung di pusat boling Sunway Megalanes di sini pada 19 September 2022.

SUBANG, SELANGOR – Trio tenpin boling lelaki negeri Pulau Pinang hari ini (19 September 2022) ‘menang tipis’ dalam saingan yang berlangsung di pusat boling Sunway Megalanes di sini serta menghadiahkan pingat emas kepada Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) negeri.

Megat Zaqrul Haiqal Megat Zairudin yang bertanding bahu dengan Muhammad Hariz Adlan Azman dan Muhammad Syafiy Mohd. Noor Azam berjaya mengumpul 3,671 mata keseluruhan, iaitu kelebihan empat mata sahaja di depan pemenang pingat perak iaitu skuad negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Skuad negeri Sarawak yang kurang 10 mata sahaja berbanding Pulau Pinang terpaksa pasrah di tempat ketiga dan membawa pulang pingat gangsa.

JASSEN Cheah Teik Tatt

Jurulatih skuad tenpin boling Pulau Pinang, Jassen Cheah Teik Tatt memberitahu Buletin Mutiara bahawa ketiga-tiga atlet berkenaan merupakan individu yang sama memenangi pingat gangsa bagi acara trio tenpin boling lelaki semasa SUKMA 2018 di negeri Perak.

“Pada petang ini (skuad tenpin boling negeri Pulau Pinang) menang tipis, kita tetap bersyukur dengan kemenangan pingat emas ini.

“Trio tenpin boling lelaki yang memenangi pingat emas pada petang ini merupakan anggota pasukan yang sama memenangi pingat gangsa dalam SUKMA 2018 di Perak.

“Maka, trio tenpin boling lelaki berkenaan berjaya menukar warna medal dari gangsa menjadi emas,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan selama ini oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan Persatuan Tenpin Boling Negeri Pulau Pinang.

SEKALIAN anggota skuad tenpin boling negeri Pulau Pinang turut merakamkan gambar kenang-kenangan di sini tadi.

Menurutnya lagi, kejayaan mendapat pingat emas bagi acara trio tenpin boling lelaki pada hari ini sebenarnya sebagaimana sasaran pingat peringkat MSNPP sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, Jassen Cheah memberitahu bahawa beliau secara peribadi turut berharap skuad bimbingannya dapat menambah koleksi pingat dalam enam baki acara saingan lain yang dijadual berlangsung pada hari esok di sini.

Semalam (18 September), skuad tenpin boling negeri Pulau Pinang berjaya mendapat pingat gangsa bagi acara individu lelaki.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI