Tubuh Penggerak Pengguna Pulau Pinang, pantau harga barangan

SERI DELIMA – Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menubuhkan Penggerak Pengguna Pulau Pinang bermula Mac 2021 bertujuan bagi memantau kenaikan harga barangan.

Menurut Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain, penubuhan tersebut merupakan penjenamaan semula Kumpulan Pemantuan Pengguna KADUN yang pernah ditubuhkan pada tahun 2015 namun dibubarkan pada tahun 2018.

“Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selain dianggotai oleh individu yang berpengalaman dan minat dalam bidang kepenggunaan.

“Malah, ia akan ditubuhkan di semua 40 KADUN di Pulau Pinang. 

“Tambahan pula, kita memang menerima aduan kenaikan harga minyak masak minggu lepas namun kini kita lihat ia kembali stabil,” ujarnya sejurus melakukan tinjauan harga barang di pasar raya Tesco Jelutong bersama KPDNHEP semalam.


Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab Ghapar.

Mengulas lanjut, Abdul Halim memaklumkan bahawa dalam mengekang kekurangan bekalan minyak masak seperti yang didakwa sebelum ini, pihaknya telah mula mengeluarkan arahan agar peruncit mengehadkan penjualan minyak masak paket kepada pengguna.

“Buat masa sekarang bekalan minyak masak di negeri ini masih mencukupi dan kita keluarkan arahan mengehadkan jualan minyak (masak) dua hingga lima paket maksimum kepada individu.

“Selain itu KPDNHEP juga meneliti di semua peringkat pengeluaran minyak sawit bagi memastikn peruncit tidak mengambil keuntungan berlebihan,” katanya kepada pihak media.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR