Tubuh PSSCC, sejajar pertumbuhan SSO

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Sektor perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar atau Shared Services and Outsourcing (SSO) di Malaysia telah berjaya menarik kemasukan pelaburan baharu bernilai RM3.5 bilion setakat ini tahun ini.

Menurut Naib Presiden Multimedia Development Corporation Sdn. Bhd. (MDEC), Michael Warren, nilai tersebut adalah 300 peratus lebih berbanding jumlah pelaburan baharu bagi keseluruhan tahun 2014.

“Malaysia merupakan destinasi pilihan pelabur baharu untuk SSO dengan catatan pertumbuhan sebanyak 23 peratus dalam tempoh tiga tahun berbanding purata global cuma 6 peratus.

“Pertumbuhan pesat ini dipacu oleh persekitaran ekonomi di rantau ASEAN termasuk trend terkini, syarikat-syarikat multinasional di Malaysia mula beralih ke arah SSO dengan menyumbang 54 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“MDEC percaya sasaran 60 peratus KDNK (dalam SSO) mampu dicapai menjelang tahun 2020 walaupun nilai dagangan ringgit kelihatan lemah, namun, ia masih mampu menarik minat syarikat-syarikat global untuk terus melabur di Malaysia kerana ketersediaan tenaga kerja sama ada mahir mahupun separa mahir,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan SSO Pulau Pinang Ketiga di sini baru-baru ini.

Persidangan tahunan itu dirasmikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Pengarah investPenang (iP) yang juga merupakan Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Lee Kah Choon memberitahu, lonjakan trend SSO di Malaysia adalah hasil unjuran syarikat-syarikat global yang mensasarkan potensi pertumbuhan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community, AEC).

Tambah beliau, sektor perkhidmatan di Pulau Pinang juga dijangka mengatasi sektor pembuatan dan komoditi sebagai pemacu ekonomi utama tahun ini susulan peningkatan minat terhadap produk berkaitan pelancongan dan perkhidmatan sokongan seperti perbankan dan logistik.

“Sektor perkhidmatan dijangka menyumbang sebanyak 49 peratus bagi unjuran awal KDNK, manakala sektor pembuatan yang sebelum ini menyumbang hampir 50 peratus, dijangka mencapai 47 peratus sahaja tahun ini,” ujarnya.

Tambah Kah Choon, sejajar dengan pertumbuhan pesat sektor SSO, Pulau Pinang juga berhasrat meneraju sektor Kandungan Multimedia Kreatif atau Creative Multimedia Content (CMC) dengan menubuhkan Majlis SSO-CMC Negeri Pulau Pinang (PSSCC).

“Seperti yang diperkatakan oleh Y.A.B. Ketua Menteri dalam ucapannya, PSSCC ini akan menyediakan sokongan langsung, khidmat nasihat dan promosi ekosistem kepada Kerajaan Negeri dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi utama pilihan pelabur yang berkecimpung dalam SSO, CMC mahupun sektor-sektor lain yang berkaitan.

“Bagi menjayakannya, Kerajaan Negeri melalui PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) telah menandatangani satu perjanjian sub-pajakan selama 30 tahun dengan nilai RM30 juta bagi mewujudkan pusat pembangunan multimedia kreatif dikenali Accelerator for Creative Analytic Technology atau @CAT yang dilihat memberi nilai tambah dalam sektor SSO dan CMC di Pulau Pinang,” jelasnya.

Kira-kira 300 delegasi dari pelbagai latar belakang industri menghadiri Persidangan SSO berkenaan.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);