Paramit AS labur RM60 juta

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BATU KAWAN – Selepas Haemonetics, syarikat pengeluar peranti perubatan Paramit Corporation (Paramit) yang turut berpengkalan di Amerika Syarikat membuka industri di Taman Sains Pulau Pinang dekat kawasan Parlimen Batu Kawan, dengan nilai pelaburan RM60 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pelaburan terbaru ke negeri ini sekaligus mewujudkan kira-kira 500 hingga 800 peluang pekerjaan tidak lama lagi.

“Fasiliti baru itu akan membangunkan beberapa produk paling inovatif di dunia, baik dalam bidang peranti perubatan, mahupun dalam pasaran yang lain juga,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri Paramit di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Pengurus Paramit Corp. di Malaysia, Thomas La Rose memberitahu, industri yang dijadual siap pada bulan Jun 2016 nanti akan berperanan sebagai kilang pengeluaran utama di rantau Asia.

“Fasiliti Paramit kedua di Malaysia ini akan meletakkan (pelaburan terbaru) kami untuk pertumbuhan yang pesat serta diharap berkembang menjadi salah satu pengeluar peralatan dan instrumen perubatan yang terkemuka di rantau ini,” ujar beliau sambil merakamkan penghargaan atas sokongan pemimpin Kerajaan Negeri.

Menurut Guan Eng, Pulau Pinang dipilih sebagai destinasi pelaburan terbaru berdasarkan pengalaman yang kompetatif Paramit Corp. melabur pada fasa pertama di Zon Perindustrian Bebas dekat Bayan Lepas, sejak tahun 1988 lagi.

“Sejak 1988, Paramit menghasilkan komponen elektrik dan elektronik, termasuk peranti perubatan dan instrumen, bagi sesetengah pemimpin pasaran yang terbesar dan dalam industri masing-masing di seluruh dunia.

“Selain di Pulau Pinang, fasiliti pelaburan Paramit (Corp.) di luar Malaysia adalah seperti di Morgan Hill, California.