Tubuh unit kawalan vektor bendung aedes

DATUK KERAMAT – Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyeru pemaju-pemaju projek pembinaan supaya menubuhkan unit kawalan vektor masing-masing bagi membendung peningkatan kes demam denggi di negeri ini.

Katanya, unit tersebut adalah amat penting bagi memantau, mengenal pasti dan memusnahkan tapak-tapak pembinaan daripada menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.

“Itu yang kita (Kerajaan Negeri) hendak tekankan, sekarang saya sedang berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung cara melaksanakan tindakan lebih tegas terhadap pemilik-pemilik tapak pembinaan terlibat.

“Selain tindakan tegas seperti kompaun, kita juga perlu melaksanakan tindakan mencegah,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke salah sebuah tapak pembinaan di sini baru-baru ini.

Bersempena lawatan tersebut, Afif turut menyumbangkan repelen dan abate kepada Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Heng Ee, Low Lim Wah yang mana lokasi terbabit terletak berhampiran dengan tapak pembinaan yang dilawati.

Mengulas lanjut, Afif memberitahu bahawa beliau akan mengkaji semula Akta Bangunan setiap PBT bagi meneliti kawalan keselamatan dan kesihatan pekerja di tapak pembinaan. Kajian tersebut adalah bagi memastikan sama ada Kerajaan Negeri perlu mengambil pakar luar bagi menangani isu pembiakan aedes ataupun sebaliknya.

Tambah Afif, peningkatan kes denggi pada tahun 2015 iaitu pada Januari hingga Mei adalah sangat membimbangkan dengan 2,250 kes berbanding 734 kes pada tempoh sama tahun lalu.

“Pulau Pinang mencatatkan enam kematian sehingga tempoh minggu ke-21 tahun ini, malah, sebanyak 31 lokasi dikenalpasti sebagai kawasan wabak terkawal (diserang denggi dalam satu minggu); lima kawasan tidak terkawal (diserang denggi dalam masa dua minggu dan tiga kawasan panas (diserang denggi lebih dari sebulan),” jelas beliau.