Cegah biak aedes paling berkesan – Exco

BERTAM – Sebanyak 112 pasukan sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) yang berjaya ditubuhkan meliputi kesemua lima daerah di negeri ini digesa lebih agresif dalam memerangi wabak denggi, dengan mengadakan kempen hingga ke peringkat unit keluarga di lokaliti masing-masing.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata demikian pada Konvensyen COMBI Peringkat Negeri Pulau Pinang 2015 di Kompleks Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini baru-baru ini.

“Fogging (pengabusan) sahaja tak memadai kerana cara ini hanya menghapuskan nyamuk aedes yang sedia membiak.

“Nak melawan denggi ini, caranya adalah cegah pembiakan dari awal, bukan fogging dan letak abate.

“Begitu juga gotong-royong sahaja tidak memadai, kesedaran mesti sampai tiap-tiap keluarga supaya boleh ambil masa sekurang-kurangnya 10 minit dalam seminggu untuk semak kawasan rumah masing-masing untuk hapus kawasan pembiakan
nyamuk aedes ini,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Vektor Negeri, Dr. Fazilah Mydin dan Mahiran Abu Bakar (Ketua Penolong Pengarah Unit Promosi Kesihatan Negeri) turut menyertai konvensyen seharian tersebut.

Pada majlis tersebut, Afif turut menyampaikan hadiah kepada pasukan-pasukan COMBI yang memenangi pertandingan kategori lisan dan poster.

Beliau memberitahu, kesemua jawatankuasa COMBI yang terpilih secara automatik akan mewakili negeri ke Simposium  COMBI Kebangsaan 2015 yang akan diadakan di Nilai, Negeri Sembilan.

COMBI ditubuhkan di Pulau Pinang pada penghujung tahun 2013.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);