Tujuh aduan Sungai Kereh direkod, pemantauan kualiti air dilaksana berterusan – Exco

Admin
0604ed33 4cdd 43b7 a22b 8bd71e14a116

GEORGE TOWN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang merekodkan sebanyak tujuh aduan berkaitan pencemaran air dan bau busuk di Sungai Kereh dalam tempoh dua tahun bermula 2024 hingga 2026.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, setiap aduan diterima telah disusuli dengan siasatan lapangan termasuk pemeriksaan lokasi serta pensampelan air yang dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati terdapat kawasan parit dipenuhi rumput air yang berpotensi mengganggu aliran sungai serta menyumbang kepada masalah bau.

“Pemantauan kualiti air Sungai Kereh dilaksanakan menerusi Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar dengan tiga stesen pengawasan manual serta satu stesen tambahan di Sungai Air Melintas.

“Berdasarkan Indeks Kualiti Air (IKA), Sungai Kereh merekodkan tahap tercemar hingga sederhana tercemar bagi tempoh 2024 hingga 2026,” ujarnya ketika menjawab Soalan Lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Mohd. Sobri Saleh pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Ke-15 di sini.

Mengulas lanjut, Mooi Lye menyatakan bahawa tahap pematuhan premis menunjukkan peningkatan apabila peratus premis tidak patuh menurun kepada 43 peratus pada tahun 2025 berbanding 48 peratus pada tahun 2024.

Walau bagaimanapun, beliau turut menjelaskan bahawa punca pencemaran di Sungai Kereh tidak hanya berpunca daripada sektor industri semata-mata, sebaliknya turut melibatkan aktiviti pertanian, pasar serta ladang ternakan.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bakal melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan secara bersepadu bagi menangani isu berkenaan,” jelasnya yang juga merupakan ADUN Jawi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mooi Lye memberitahu bahawa satu mesyuarat bersama agensi teknikal berkaitan telah diadakan pada 23 April 2026 bagi membincangkan cadangan penyelesaian jangka panjang isu pencemaran di Sungai Kereh.

“Antara langkah yang sedang dirancang termasuk pemindahan sisa najis khinzir ke Stesen Pemindahan Ampang Jajar (SPAJ) untuk diproses menggunakan teknologi ‘anaerobic digestion’ bagi menghasilkan tenaga boleh diperbaharui.

“Pendekatan ini bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran sungai, malah menyokong agenda kelestarian dan tenaga hijau negeri,” jelasnya.

Buletin Mutiara difahamkan, satu perbincangan lanjutan turut diadakan pada 11 Mei 2026 bagi menyelaras aspek teknikal dan kelulusan berkaitan termasuk keperluan laporan pindaan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) bagi mempercepat pelaksanaan cadangan tersebut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & SIEW CHIA EN