AI, Deep Tech kini jadi fokus utama ekosistem STEM Pulau Pinang – Jagdeep

Admin
f18aeb18 8897 4472 9789 7aa197e5f772

GEORGE TOWN– Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa Kerajaan Negeri hari ini akan terus memperkukuh kedudukan sebagai hab industri utama di rantau Asia Tenggara menerusi kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan Negeri serta agensi-agensi berkaitan bagi memperkasakan ekosistem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Beliau yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi memberitahu bahawa hasil sinergi antara Kerajaan Negeri dan pelbagai pihak berkepentingan telah mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan rekod penglibatan seramai 303,491 peserta dalam pelbagai program STEM sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.

Menurut beliau, pencapaian tersebut dijana melalui tiga agensi pemacu utama iaitu Penang Science Cluster (PSC), Tech Dome Penang (TDP) dan Penang Science Cluster (PSC).

“Pusat-pusat STEM ini berfungsi sebagai rangkaian kohesi yang melengkapi pelajar dengan kemahiran era teknologi.

“Kita (Kerajaan Negeri) bukan sahaja menumpukan kepada teknologi tinggi (high-tech), malah Pulau Pinang kini melangkah ke hadapan dalam bidang ‘deep tech’ dan Kecerdasan Buatan (AI),” ujarnya semasa Sesi Soal Jawab Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 12 Mei 2026.

Menjawab soalan yang diutarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan, Jagdeep menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri turut memperkemas agenda perbekalan bakat yang mampan dengan melancarkan Penang STEM Talent Blueprint.

Menurut beliau, pelan induk tersebut dirangka selaras dengan Visi Penang2030 dan Strategi Pembangunan Ekosistem Ekonomi Pulau Pinang (SEED) 2023-2028.

Di bawah pelan induk berkaitan, tambahnya, rantai bakat diperkukuh menerusi lima elemen iaitu membangkitkan minat awal melalui pengalaman praktikal (Ignite); menerapkan aplikasi sains dunia sebenar dan vokasional di sekolah menengah (Embed); merapatkan jurang antara kuliah universiti dengan realiti industri (Immerse); Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat melalui peningkatan kemahiran dan latihan semula (Embrace) serta menarik dan mengekalkan bakat melalui dasar-dasar yang proaktif (Enable).

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang bahawa langkah-langkah proaktif yang diambil sehingga kini sebenarnya bagi mengatasi cabaran ketidakpadanan kemahiran memandangkan permintaan industri di Pulau Pinang kini berada pada tahap yang sangat tinggi dan kompetitif di peringkat global.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & ALISSALA THIAN