Ketiadaan hak milik strata dikenal pasti punca tanggung kenaikan cukai tanah tinggi

Admin
a30ac1bc 59b2 4e1a b796 f3ee5d69d4da

GEORGE TOWN – Ketiadaan hak milik strata dikenal pasti sebagai punca utama atau ‘kelemahan’ yang menyebabkan penduduk di sesetengah kawasan perumahan kos rendah seperti kawasan Raja Uda terpaksa menanggung kenaikan cukai tanah tinggi meskipun Kerajaan Negeri telah menetapkan kadar minimum.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberi respons sedemikian kepada soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 12 Mei 2026.

“Apabila tiada hak milik strata, cukai tanah dikenakan ke atas keseluruhan lot tersebut, (dan) setelah dibayar, jumlah itu akan dibahagikan kepada semua unit yang terlibat, maka sebenarnya mereka bayar dalam lingkungan puluhan ringgit saja, satu unit.

“Jika mereka memiliki hak milik strata, mereka akan tertakluk kepada cukai petak yang kadarnya tidak disentuh dalam semakan kali ini,” responsnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

c9926251 ef1d 436c a62d 51edf8c125e9Di samping itu, Kon Yeow menambah bahawa mengikut Akta Pengurusan Strata baharu, masalah yang dibangkitkan Guan Eng itu akan diatasi memandangkan hak milik strata kini perlu dikeluarkan serentak dengan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC).

Sebelum itu, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri melalui Warta Kaedah-Kaedah Tanah Pulau Pinang (Pindaan No. 4/2025) telah menetapkan kadar cukai tanah nominal sebanyak RM50 per lot bagi kategori rumah ibadat, persatuan amal dan badan bukan berasaskan keuntungan serta rumah kampung.

Bagi rumah kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR), beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri menetapkan kadar minimum berdasarkan lokasi iaitu RM70 di bandar dan RM50 di desa.

Memandangkan kebanyakan unit KR dan KSR berkeluasan di bawah 100 meter persegi (1,076 kaki persegi), tambah beliau, pemilik unit-unit berkaitan secara automatik bakal menikmati kadar minimum tersebut.

Menyentuh mengenai proses rayuan cukai tanah yang masih berjalan, Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya memberi jaminan bahawa pemilik tanah yang telah membuat bayaran sebelum keputusan rayuan dibuat mempunyai dua pilihan sekiranya terdapat lebihan bayaran, sama ada pemulangan wang tunai (refund) atau kredit bayaran untuk ditolak bagi cukai tahun-tahun seterusnya.

“Bagi sesetengah kes yang melibatkan pengurangan besar sehingga RM10,000, pemilik boleh memilih kaedah yang paling memudahkan mereka,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Selain itu, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa melalui proses semakan semula cukai tanah ini, Kerajaan Negeri menjangkakan kutipan hasil tambahan dalam lingkungan RM50 juta berbanding jumlah jangkaan sebelum ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & SIEW CHIA EN