BATU UBAN – Sebanyak RM2.35 juta diperuntukkan bagi melaksanakan tujuh projek naik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban menerusi kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berkata, projek-projek berkenaan dijangka bermula pada Jun 2026 dan siap sepenuhnya menjelang Disember tahun sama.
“Peruntukan ini melibatkan beberapa kawasan utama di Batu Uban termasuk Bukit Gambir, Sungai Dua, Bukit Jambul, Taman Brown dan Taman Pekaka bagi memastikan kemudahan awam berada dalam keadaan lebih selesa dan selamat untuk penduduk.
“Kita mahu memastikan kemudahan asas seperti jalan raya, laluan pejalan kaki dan sistem perparitan sentiasa berada dalam keadaan baik demi keselesaan dan keselamatan penduduk,” katanya semasa sesi sidang media berhubung projek penyelenggaraan KADUN Batu Uban dekat Taman Kejiranan Lengkok Nipah sebentar tadi.
Hadir sama, Ketua Staf di Pusat Khidmat ADUN Batu Uban, Cheah Peng Guan; wakil-wakil pegawai dari JKRPP serta wakil barisan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

Menurut Kumaresan, antara projek yang bakal dilaksanakan termasuk kerja menaik taraf laluan pejalan kaki di Taman Kejiranan Lengkok Nipah dan sepanjang padang berhampiran Jalan Bukit Gambir melibatkan kos RM200,000.
Serentak itu, kerja penyelenggaraan longkang dan kerja-kerja berkaitan di Lintang Permai, Minden Heights turut diperuntukkan sebanyak RM200,000.
“Di Jalan Helang dan Sungai Dua pula, kita akan melaksanakan kerja naik taraf pejalan kaki bagi meningkatkan keselesaan penduduk serta pengguna jalan raya.
“Pada masa sama, sejumlah kira-kira RM250,000 diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan dan pengecatan garisan jalan di sekitar Jalan Bukit Gambir, Jalan Sungai Dua dan Batu Uban,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, Kumaresan turut memaklumkan bahawa beberapa projek telah dianugerahkan tender dan sedang dilaksanakan manakala sebahagian lagi masih dalam proses sebut harga dan penilaian.
“Kita jangkakan beberapa projek boleh dimulakan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi dan disiapkan sebelum penghujung tahun,” ujarnya.
Sehubungan itu, Kumaresan turut memaklumkan bahawa pihaknya menerima kira-kira 420 aduan berkaitan kerosakan melibatkan jalan raya dan longkang sepanjang tahun 2025.
“Sebahagian besar aduan melibatkan jalan berlubang, longkang rosak dan isu penyelenggaraan kecil.
“Kebanyakan dari (aduan) diterima berjaya diselesaikan hasil kerjasama JKR, MPKK dan pegawai lapangan,” jelasnya.
Selain isu infrastruktur, Kumaresan turut membangkitkan isu anjing liar di kawasan Minden Heights dan mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan penyediaan lokasi khas untuk pemberian makanan bagi mengawal pembiakan serta penempatan haiwan tersebut di kawasan perumahan.
Teks dan Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL