Tujuh rakan sekolah antara terima RM1,000 bantuan daftar masuk universiti zahir penghargaan kepada Kerajaan Negeri

 

GEORGE TOWN – Tujuh bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainal Abidin antara 499 penerima RM1,000 Bantuan Pendaftaran Masuk Ke Institusi Pengajian Tinggi (iBITA) Peringkat Daerah Timur Laut.

Salah seorang penerima, Muhammad Asrizal Abdul Aziz, 20, yang ditemui merakamkan penghargaan atas program kebajikan yang terus dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang pada hari ini.

“Saya berasa begitu gembira mendapat bantuan kewangan ini, walaupun lambat, kerana saya daftar masuk Universiti Sains Malaysia (USM) pada bulan September lepas.

“Bagaimanapun, RM1,000 ini mungkin akan saya simpan, untuk bayaran yuran semester dua sesi akademik nanti,” jelasnya.

Sebelum itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa bantuan pada hari ini melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM498,700.

“Walaupun bantuan ini bukan seberapa nilainya, namun, ia merupakan salah satu penghormatan yang bernilai daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada penduduk negeri ini.

“Para pelajar juga amat dihargai kerana mereka merupakan ‘pelaburan jangka panjang’ kepada Kerajaan Negeri,” ujarnya dalam majlis yang dilangsungkan di Dewan Sri Pinang dekat sini pada 17 Disember 2019.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Pegawai Daerah Timur Laut, Rosli Halim dan Penyelaras Program iBITA, Lim Huai Xin turut sertai majlis tersebut.

Turut bersyukur ialah seorang lagi penerima bantuan iBITA, Nur Fatin Nabila Bilal, 20, yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang industri kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mengulas ucapan Kon Yeow, Nur Fatin Nabila memberitahu bahawa ini merupakan kali pertama beliau mendapat sumbangan bantuan pendidkan langsung daripada Kerajaan Negeri.

Menurutnya, beliau berasa begitu dihargai sebagai penduduk Pulau Pinang, apabila menerima RM1,000 bantuan daftar masuk universiti ini.

“Ini, kali pertama saya mohon bantuan kewangan dan ini kali pertama saya dapat bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri.

“Mesti rasa begitu gembira, rasa pencapaian kita sampai boleh masuk universiti awam turut dihargai oleh Kerajaan Negeri.

“RM1,000 ini akan saya simpan untuk keperluan yuran semester dua nanti,” jelas Nur Fatin Nabila sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow.

Nada sama turut diluahkan oleh seorang lagi penerima, Nurfatin Mohammad Ariff, 20, yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Cawangan Merbuk, Kedah.

“Sebelum ini, saya pernah mendapat bantuan duit zakat daripada Zakat Pulau Pinang, dan (bantuan iBITA) ini merupakan kali pertama saya mendapat bantuan langsung daripada Kerajaan Negeri hari ini,” katanya.

Masing-masing atas semangat Kolej Tingkatan Enam Haji Zainal Abidin, para pelajar berkenaan menzahirkan rasa gembira atas terimaan bantuan kewangan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : CHAN KOK KUAN