AIR ITAM – Sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam dengan kerjasama Taycon Motor menganjurkan program tukar minyak enjin motosikal secara percuma.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata program tersebut adalah terbuka kepada 300 orang pengundi di kawasan berkenaan membabitkan peruntukan hampir RM10,000.
“Hasrat kami adalah untuk meringankan beban pengundi dan penduduk di Air Itam selain memupuk semangat kebersamaan antara penduduk serta wakil rakyat di kawasan ini.

“Program ini akan berlangsung selama satu bulan bermula pada 15 Ogos sehingga 15 September 2025 yang mana tarikh pendaftaran telah dibuka pada akhir Julai sehingga 14 Ogos 2025.
“Pada mulanya kami bercadang untuk membuka permohonan kepada 250 orang sahaja dengan keutamaan adalah kepada pengundi dan penduduk di Air Itam melibatkan motosikal berkuasa 150cc dan ke bawah.
“Pejabat Khidmat Air Itam telah meneleti semua permohonan dan kami dapati seramai 165 daripada 250 orang pemohon layak manakala 85 orang lagi ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui ketika merasmikan program berkenaan dekat premis perniagaan Taycon Motor, di sini pagi tadi.
Soon Siang berkata, memandangkan sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan pihaknya telah membuka semula tarikh pendaftaran kali kedua bermula 14 Ogos kepada 150 orang terawal.
“Setelah dinilai, kami mendapati seramai 105 orang layak manakala 45 lagi ditolak.
“Ini bermakna ketika ini seramai 270 pemilik motosikal yang layak telah berdaftar, manakala baki 30 kekosongan lagi masih dibuka,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Soo Siang berkata banyak lagi program dianjurkan di KADUN Air Itam sepanjang Bulan Kebabangsaan dan Hari Malaysia termasuklah projek melukis mural serta pemasangan Jalur Gemilang.
“Selain di bulatan Air Itam, kami juga akan memasang bendera di Pasar Air Itam bagi memeriahkan lagi sambutan bulan Kemerdekaan pada tahun ini,” ujarnya.
Ditanya mengenai isu kesilapan pemasangan bendera yang menjadi semakin hangat ketika ini, Soon Siang mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan insiden tersebut sebagai senjata politik untuk membangkitkan isu perkauman.
“Kita tidak mahu ada pihak mengapi-apikan isu pemasangan bendera ini kerana dikhuatiri akan menyebabkan wujudnya perasaan takut dalam kalangan rakyat untuk mengibar Jalur Gemilang.
“Sebaliknya, kita mahu terus menggalakkan rakyat untuk terus memasang bendera, terutamanya apabila tiba Bulan Kemerdekaan sebagai salah satu inisiatif membangkitkan semangat cintakan negara,” ujarnya.
Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF