Tukar status pemilikan Blok B PPR Desa Wawasan secara sewa beli, umum Exco

Jagdeep Singh Deo dan Sr. Rozali Mohamud menyempurnakan gimik perasmian mengecat semula Blok A dan Blok B PPR Desa Wawasan pagi ini.

PADANG LALANG – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri bersetuju untuk menukar status pemilikan Blok B di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Wawasan kepada Skim Sewa Beli.

Kerajaan Negeri kini, katanya, sedang menjalankan proses pemindahan penduduk untuk mengosongkan 40 daripada 456 unit keseluruhannya di Blok B untuk tujuan tersebut.

Blok B, PPR Desa Wawasan yang bakal ditukar status pemilikan kepada Skim Sewa Beli.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak akan buat sekaligus 456 unit ini kerana proses pemindahan akan mengambil masa, jadi kita akan buat secara berfasa.

“Fasa pertama merangkumi 40 unit dan akan dilaksanakan mulai Mac 2020 yang mana sekarang ini kita sedang dalam proses pemilihan untuk menentukan mereka (penduduk) yang layak.

“Mereka yang mempunyai rekod bayaran sewaan dan caj penyelenggaraan yang baik akan diberikan keutamaan bagi projek ini.

“Walau bagaimanapun, jumlah sewaan bulanan melalui skim ini masih dalam proses untuk diperhalusi yang mana kita akan putuskan selewat-lewatnya sebelum Mac depan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kerja-kerja mengecat semula Blok A dan Blok B, PPR Desa Wawasan, dekat sini pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang merangkap Exco Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng dan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Rohana Abdul Ghani; jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Tengah, Tajuddin Yahaya serta Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Desa Wawasan, Mohd. Sanusi Ahmad turut menyertai program berkaitan.

Jagdeep Singh Deo menunjukkan skim warna baru bagi kedua-dua blok PPR Desa Wawasan yang ditentukan melalui pungutan suara penduduk setempat

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, pelaksanaan projek terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan unit perumahan yang dibekalkan oleh Kerajaan Negeri melalui secara sewa beli adalah sebanyak 2,009 unit merangkumi empat projek di Seberang Perai dan satu projek di bahagian pulau.

“Hal ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri serius dalam hasrat untuk memperluaskan kaedah pemilikan melalui sewa beli bagi membantu mereka yang berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri,” jelasnya lagi.

Terdahulu, dalam ucapannya Jagdeep memaklumkan bahawa kos bagi mengecat semula kedua-dua blok berkenaan sebanyak RM1,552,225 dan akan siap sepenuhnya pada Julai tahun depan.

“Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM6,937,210.12 bagi melaksanakan beberapa projek baru dan penyelenggaraan di PPR Desa Wawasan termasuk pembinaan taman permainan dan rekreasi, pemasangan bumbung di laluan pejalan kaki, penyelenggaraan lif, meningkatkan keselamatan dan kebersihan serta banyak lagi,” hurainya.

Dalam pada itu, Chong Eng menasihati penduduk supaya menghargai segala kemudahan yang disediakan Kerajaan Negeri untuk menjadikan PPR Desa Wawasan sebagai projek perumahan kos rendah yang paling sesuai untuk didiami di negeri ini.

“Saya juga menasihati penduduk supaya membayar sewa sebanyak RM100 sebulan dan caj penyelenggaraan (RM24) untuk melancarkan kerja-kerja penyelenggaraan bagi manfaat semua,” ujarnya lagi.

Sebagai rekod, Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM231 juta untuk kerja-kerja menyelenggara skim perumahan awam, skim perumahan swasta dan skim perumahan di bawah seliaan kedua-dua pihak berkuasan tempatan (PBT) di negeri ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD