GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sentiasa cakna mengenai masalah serangan keladi agas (monochoria vaginalis) yang menjadi ancaman terhadap kemerosotan pengeluaran hasil padi di negeri ini terutama di kawasan Seberang Perai Utara (SPU).
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, selain serangan keladi agas, faktor seperti kualiti air yang terjejas, penggunaan benih padi tidak sah, amalan agronomi (juga dikenali sebagai rice check) tidak mengikut piawaian dan kekurangan tenaga kerja di lapangan turut menjejaskan pertumbuhan padi.
“Bagi menangani isu ini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang telah menubuhkan satu jawatankuasa atau taskforce pada Mei 2023.
“Pada tahun tersebut juga (2023) sebanyak RM900,000 telah diperuntukkan yang mana sejumlah RM400,000 dikhaskan untuk perolehan perkhidmatan kawalan keladi agas mengikut pakej yang disyorkan oleh pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di dua daerah utama pengeluaran padi iaitu SPU dan Seberang Perai Selatan (SPS).
“Hasil pelaksanaan ini, sebanyak 64.15 peratus keluasan infestasi berjaya dikurangkan bagi musim pertama 2024,” ujarnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 17 November 2025.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Mohd. Sobri Salleh mengenai kemerosotan hasil tanaman bagi musim pertama 2025.
Mengulas lanjut mengenai usaha Kerajaan Negeri, Fahmi yang juga ADUN Pantai Jerejak memaklumkan bahawa sebanyak 12 siri kempen dan taklimat kawalan rumpai perosak serta penyakit dilaksanakan sepanjang tahun 2025 bagi meningkatkan kesedaran para pesawah tentang kepentingan kawalan awal pada peringkat penyediaan tanah.
“Selain itu, petak penanaman juga adalah mengikut piawaian rice check, turut dilaksanakan di daerah SPU, melibatkan kawasan seluas empat hektar bagi memperkukuh amalan agronomi yang tepat dan berkesan.
“Pendekatan kawalan bersepadu, bantuan teknikal dan pemantapan amalan pertanian lestari juga terus diperkasakan dalam kalangan pesawah,” jelasnya.
Mengenai cadangan pemberian bantuan secara sekali bayar (one-off) kepada pesawah terjejas, Fahmi berkata Kerajaan Negeri sedang menelitinya dengan mengambil kira tahap kerosakan, kesan terhadap pendapatan pesawah dan kemampuan kewangan kerajaan semasa.
“Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Jabatan Pertanian Malaysia dalam menyalurkan bantuan teknikal serta sokongan sewajarnya kepada pesawah terjejas,” katanya sekali gus menjawab soalan kepada ADUN Penanti, Zulkefli Bakar dan ADUN Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim @Md Hashim.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT