Tun Abdul Rahman lancar buku ‘Kuntuman Sri Mutiara’

TUN Abdul Rahman Abbas (depan, empat dari kiri) diiringi Ketua Menteri (tiga dari kiri) bersama-sama tetamu utama lain semasa acara pelancaran buku Kuntuman Sri Mutiara pada majlis berkaitan semalam.

TELUK BAHANG – Mantan Tuan Yang di-Pertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas menyempurnakan pelancaran buku ‘Kuntuman Sri Mutiara’.

Buku koleksi bergambar itu adalah mengenai tumbuh-tumbuhan yang ‘jarang ditemukan’ tetapi terdapat sekitar kediaman rasmi di Seri Mutiara dan dicetak sebanyak 1,000 naskah eksklusif sahaja.

Sebanyak 200 naskah akan dibeli oleh Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang, sementara bakinya akan diserahkan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) untuk dijual pada harga RM200 seunit kepada umum.

Ini adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati keindahan flora sungguhpun tidak pernah memasuki kawasan kediaman rasmi TYT, Seri Mutiara.

TUN Abdul Rahman Abbas

Semasa berucap, Abdul Rahman memberitahu bahawa beliau bertuah kerana menjadi TYT semasa Kerajaan Negeri pernah di bawah Barisan Nasional selama tujuh tahun, disusuli 13 tahun di bawah Pakatan Rakyat/Harapan.

“Saya boleh bertahan menjadi TYT selama 20 tahun kerana saya tahu kerja saya sebagai TYT.

“Selama 20 tahun ini, adalah antara kemuncak pengalaman saya sebenarnya,” jelasnya yang juga bekas Penaung Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang pada majlis berkaitan.

Dalam ucapan santai selama 15 minit, Abdul Rahman turut berkongsi pengalamannya sebagai ahli politik Umno serta pernah diamanahkan menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

“Hari pertama saya menjadi Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), saya melihat semua wakil parti di dalam Dewan adalah sama.

“Pengalaman (sebagai Yang di-Pertua DUN Pulau Pinang) sangat membantu saya memikul amanah sebagai TYT Pulau Pinang selama 20 tahun (sejak 1 Mei 2001),” ujarnya.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang berucap sebelum itu turut memberitahu bahawa Abdul Rahman selama dua dekad menjadi TYT Pulau Pinang telah menunjukkan pengetahuan secara mendalam mengenai kebergantungan kerajaan pada sektor awam dan swasta demi memajukan negeri ini.

Di samping itu, beliau turut menzahirkan harapan supaya Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff senantiasa dalam keadaan sihat dalam tempoh persaraan ini.

ABDUL Rafique Abdul Karim

Manakala, Presiden Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Abdul Rafique Abdul Karim dalam ucapannya menyatakan bahawa segala hasil jualan 200 naskah buku ‘Kuntuman Sri Mutiara’ akan disumbangkan ke Tabung TYT.

Majlis perpisahan dan penghargaan buat Abdul Rahman pada semalam dianjurkan oleh Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR