Tunggu pelan induk pembesaran NBCT muktamad, respons Zairil

Admin

GEORGE TOWN – Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata sejak bulan April lepas lagi Kerajaan Negeri telah pun menerima hasil laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

Namun, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga itu lagi, pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) masih belum memuktamadkan pelan induk pembesaran Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT).

“Projek terowong dasar laut merupakan salah satu komponen projek di bawah Projek Jalan-Jalan Utama dan Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, laporan akhir kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut hanya akan diterima siap setelah ulasan muktamad berkenaan pelan induk pembesaran North Butterworth Container Terminal (NBCT) oleh SPPP dapat diperolehi secara rasmi,” katanya semasa menjawab soalan bertulis ADUN Sungai Dua, Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 24 November 2022.

Di samping itu, Zairil menjelaskan bahawa jangka masa pelaksanaan projek terowong dasar laut juga adalah tertakluk pada pelan pengintegrasian reka bentuk jajaran terowong bersama pelan induk pembesaran NBCT, kelak.

Dalam perkembangan berkaitan, Zairil turut turut respons status kos bayaran yang diperuntukan oleh Kerajaan Negeri bagi projek tersebut.

“Tiada bayaran dilaksanakan bagi projek terowong dasar laut memandangkan laporan kajian kebolehlaksanaan masih belum dimuktamadkan dan diterima oleh Kerajaan Negeri.

“Setakat ini, (Kerajaan Negeri) hanya melaksanakan bayaran dalam bentuk secara tukar ganti tanah (in-kind) dengan nilai RM208,755,080 bagi proses kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci khusus untuk projek Jalan-Jalan Utama sahaja,” ujarnya sebagai menjawab soalan tambahan Muhamad Yusoff yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Buletin Mutiara difahamkan, projek berkaitan dilaksanakan oleh syarikat konsesi Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZC) yang dilantik oleh Kerajaan Negeri pada bulan Oktober 2013.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR