Tuntutan ke atas Pulau Pinang tidak berasas, bercanggah Perlembagaan Persekutuan – Kon Yeow

Admin
e1d2462c e983 4e03 8d40 b595f68815f2

KUALA LUMPUR – Sebarang tuntutan ke atas Pulau Pinang adalah tidak berasas dari sudut perundangan serta bercanggah dengan prinsip Persekutuan Malaysia yang menjunjung kesetaraan dan kedaulatan negeri-negeri, tegas Ahli Parlimen Batu Kawan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sempena Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Kon Yeow, Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, dan kedudukan tersebut diperkukuh menerusi Perjanjian Malaysia 1963, setaraf dengan negeri-negeri lain dalam Persekutuan termasuk Kedah.

“Dari sudut perundangan, Pulau Pinang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, dan bukan kepada sebarang tuntutan sejarah sebelum merdeka,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sempadan negeri telah dimuktamadkan melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 [Akta 325] yang digubal mengikut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.

e46c7267 6495 4f9e 8c5f aef1d2d582eb

Justeru, menurut beliau, sebarang cubaan untuk mengubah sempadan negeri melalui kenyataan atau retorik politik adalah bertentangan dengan semangat federalisme dan boleh membuka ruang kepada polemik yang tidak perlu.

Dalam perbahasan tersebut, Kon Yeow turut merujuk kepada duluan (precedent) perundangan melibatkan tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah sebagai contoh bahawa tuntutan berasaskan sejarah tidak boleh mengatasi kedaulatan yang ditentukan oleh Perlembagaan dan pembentukan Malaysia.

“Prinsip yang sama terpakai dalam isu ini.

“Pulau Pinang adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia, dan sebarang naratif yang boleh menggugat keharmonian hubungan antara negeri wajar dihentikan,” ulasnya lanjut.

Sehubungan itu, Kon Yeow menggesa semua pihak agar menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan secara matang selaras dengan Titah Diraja Yang Dipertuan Agong, tanpa menimbulkan kebencian atau syak wasangka dalam kalangan rakyat.

Dalam ucapan sama, Kon Yeow menegaskan bahawa Pulau Pinang akan terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat, termasuk aspirasi jangka panjang untuk menubuhkan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang atau Penang International Financial Centre (PIFC).

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa PIFC bukan bertujuan menyaingi Kuala Lumpur sebagai hab kewangan nasional, sebaliknya akan melengkapkan ekosistem ekonomi sedia ada Pulau Pinang yang berasaskan industri dan pembuatan berteknologi tinggi.

“Fokus Pulau Pinang adalah kepada segmen kewangan khusus seperti aset digital, teknologi kewangan (fintech) serta perkhidmatan kewangan berkaitan sektor pembuatan, termasuk pembiayaan rantaian bekalan, perdagangan dan pengurusan risiko,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan bersama pengawal selia utama seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan sedang dijalankan bagi memastikan cadangan tersebut mematuhi rangka kawal selia sedia ada.

Dalam pada itu, Kon Yeow berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan aspirasi tersebut demi memperkukuh kedudukan ekonomi Pulau Pinang serta menyokong pembangunan negara secara menyeluruh.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : SIEW CHIA EN