Tutup jalan, kesesakan Pasar Awam Air Itam kurang 70 peratus

AIR ITAM – Kadar kesesakan lalu lintas dan kepadatan di hadapan Pasar Awam Air Itam hari ini berkurangan sebanyak 70 peratus, maklum Ketua Polis bagi Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Soffian Santong.

 

Jelasnya, ia berikutan langkah penutupan beberapa laluan melibatkan arah Jalan Paya Terubong, Air Itam dan Kampung Pisang mulai hari ini sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

“Alhamdulillah keadaan hari ini lebih baik berbanding hari-hari sebelumnya, orang awam sudah semakin faham dengan arahan yang dikeluarkan.

 

“Cuma hari ini kita mahu menasihatkan orang awam khususnya di Timur Laut supaya mematuhi arahan untuk mengawal jarak selamat (satu meter) antara satu sama lain, menyegerakan pembelian barangan dan kalau boleh belilah barangan keperluan untuk dua atau tiga hari,” jelasnya dalam satu lawatan ke sekitar Pasar Air Itam pagi ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rohaizat Hamid serta Tan Soo Siang.

 

Mengulas mengenai desakan sesetengah pihak supaya Pasar Awam Air Itam ditutup, Soffian memberitahu bahawa perkara itu tidak dapat dilaksanakan berikutan pasar tersebut menampung pengunjung dari pelbagai kawasan.

 

“Pasar ini menampung keperluan penduduk dari Air Itam, Air Putih, Paya Terubong dan Kampung Baru Air Itam dan Farlim… jadi sekiranya kita tutup, ia akan memburukkan situasi di tempat-tempat lain dan masalah ini tidak akan selesai.

 

“Maka kita mengambil tindakan mendisiplinkan pengunjung-pengunjung dengan membuat laluan keluar dan masuk supaya mereka lebih berdisiplin serta mematu jarak selamat,’ katanya lagi.

 

Menyentuh mengenai keadaan di Pasar Awam Jelutong dan Jalan Perak, Soffian menjelaskan keadaan di sana masih terkawal.

 

“Keadaan di sana terkawal dan belum sampai tahap untuk kita lakukan penutupan jalan. Walau bagaimanapun kita akan terus lakukan pemantauan.

 

“Jika didapati pengunjung tidak mematuhi langkah jarak sosial, mungkin kita gunakan kaedah yang sama (penutupan jalan) di pasar-pasar lain.

Soffian dalam pada turut menasihatkan orang awam  menularkankan di media sosial kononnya tiada pihak berkuasa memantau kawasan pasar tertentu.

“Saya mohon agar jangan ada yang mencetuskan isu kononnya beberapa kawasan termasuk Pasar Awam Air Itam tidak mematuhi PKP. Selain itu, hentikan lah tuduhan mengatakan tiada pihak berkuasa memantau kawasan ini sedangkan setiap masa, polis yang dibantu agensi lain sentiasa ada di sini untuk memantau keadaan.

“Kita ada menerima laporan berhubung terdapat pihak yang menyebarkan gambar dan kenyataan tidak benar mengenai keadaan di pasar ini semalam. Ia akan disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegas Soffian.

 

Dalam pada itu, Buletin Mutiara juga berkesempatan melakukan tinjauan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu arah ke Jambatan Pulau Pinang dan Bayan Lepas yang mana difahamkan hanya satu lorong sahaja dibuka kepada kenderaan mulai hari ini.

 

Langkah ini bagi mastikan pergerakan kenderaan terkawal sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari ke-13.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : ALISSALA THIAN