Tutup Pasar Awam Air Itam boleh sebabkan kesesakan keterlaluan di pasar lain – ADUN

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang menyifatkan penutupan jalan di hadapan Pasar Awam Ait Itam, membolehkan langkah jarak sosial yang selamat boleh dipraktikkan dengan lebih baik.

 

Katanya, seperti sedia maklum bahawa pasar berkenaan sememangnya merupakan pasar yang padat kerana menampung jumlah pengunjung dari tiga kawasan iaitu Air Itam, Farlim dan Paya Terubong.

 

“Selepas sekatan (penutupan jalan) dibuat dari Balai Polis Air Itam hingga ke simpang Jalan Kampung Pisang kita boleh nampak perubahan.

 

“Pengunjung kini perlu berjalan untuk ke pasar membolehkan social distancing (jarak sosial) yang lebih baik dapat dilaksanakan.

 

“Apabila tiba di pasar mereka juga perlu beratur mengikut jarak sosial ditetapkan sebelum sanitasi tangan dan saringan suhu,” ujar beliau dalam satu tinjauan ke Pasar Air Itam pagi ini.

 

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa penutupan jalan-jalan berkenaan adalah berkuatkuasa semalam (30 Mac) sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 14 April ini selama 24 jam.

 

Hanya penduduk, peniaga dan penghantaran barang pasar sahaja dibenarkan melalui sekatan ini.

 

Walaupun terdapat desakan daripada sesetengah pihak supaya pasar berkenaan ditutup, namun hasil perbincangan dengan pihak polis mendapati cadangan tersebut tidak perlu dilakukan.

 

“Mereka mendapati Pasar Awam Air Itam ini penting dalam membekalkan makanan asas kepada penduduk di Air Itam, Farlim dan Paya Terubong.

 

“Sekiranya ditutup, pengunjung akan menyerbu pasar-pasar lain di Farlim dan Paya Terubong dan akan menyebabkan kesesakan melampau di kawasan berkenaan,” tegas Soon Siang.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI