TWOAS pastikan perwakilan wanita dan lelaki seimbang

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif Top-Up Women-Only Additional Seats (TWOAS) atau Kerusi Tambahan Untuk Wanita bagi memastikan minimum 30 peratus perwakilan wanita di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng meberitahu bahawa inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri itu adalah untuk menambah perwakilan wanita dalam DUN melalui pelantikan sekiranya keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita tidak mencapai 30 peratus.

“TWOAS merupakan sistem demokrasi yang mencerminkan komposisi terkini parti politik di DUN iaitu berdasarkan peratusan undi yang diperoleh oleh parti politik ketika pilihan raya umum.

“Selain itu, ia menunjukkan kepelbagaian dalam masyarakat kita dengan memastikan keseimbangan antara perwakilan wanita dan lelaki.

“Menurut laporan daripada Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD), sasaran pecahan jantina di parlimen dapat menjaminkan perwakilan populasi sebenar sesebuah negara.

“Tambahan pula, data dari Jabatan Perangkaan Pulau Pinang 2020 telah menunjukkan bahawa negeri kita telah hampir mencapai nisbah populasi 50 (lelaki): 50 (wanita),” ujarnya ketika berucap pada Sesi Libat Urus Antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang 2021 di sini hari ini.

Tambah Chong Eng, kaedah seumpama TWOAS telah dilaksanakan oleh negara-negara lain seperti Jepun dan Bangladesh yang mana telah terbukti ia merupakan inisiatif yang baik.

Katanya lagi, pelaksanaan TWOAS di Pulau Pinang telah mendapat sokongan yang padu daripada wakil-wakil rakyat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pemimpin-pemimpin politik mahupun orang perseorangan di dalam dan luar negara.

Antara isu keterangkuman gender yang dibangkitkan Chong Eng dalam pemerkasaan wanita di Pulau Pinang adalah melalui kuota pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Ahli Lembaga Pengarah Syarikat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Intipati lain yang turut dibentangkan ADUN Padang Lalang itu lagi termasuklah hal ehwal bukan agama Islam, keganasan rumah tangga, dasar keluarga selamat dan keharmonian masyarakat.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD