TYT harap Kerajaan Negeri teliti usul dirikan bangunan DUN baharu berserta pusat pentadbiran di dalam sebuah kompleks

Admin

GEORGE TOWN – Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Yang Keempat Belas berjalan lancar dengan istiadat pembukaan berlangsung di perkarangan Dewan Sri Pinang di sini pagi ini.

Istiadat dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Negeri Kita sebelum disusuli pemeriksaan kawalan kehormat Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP/FRU) Pulau Pinang oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Di khemah utama, kelihatan Yang di-Pertua DUN, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy serta isteri dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Turut serta, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.

Abdul Rahman dalam ucapan perasmiannya menyatakan kesyukuran apabila projek tambakan laut, Penang South Reclamation (PSR) iaitu pulau buatan berkeluasan 4,500 ekar yang diusahakan Kerajaan Negeri sejak tahun 2016 telah mendapat persetujuan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) pada 18 April lalu.

Katanya, selaras dengan dasar CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus), beliau yakin bahawa Kerajaan Negeri akan mematuhi semua 18 nasihat dan beberapa nasihat tambahan daripada Kementerian serta agensi Kerajaan Persekutuan terbabit.

“PSR ini melibatkan tambakan seluas 4,500 ekar pulau buatan yang mampu mengubah landskap fizikal dan ekonomi negeri pada masa hadapan.

“Usaha Kerajaan Negeri sejak tahun 2016 telah mendapat persetujuan, saya yakin Kerajaan Negeri akan mematuhi sepenuhnya semua syarat yang ditetapkan selaras dengan dasar CAT,” ujar Abdul Rahman.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri merancang untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Prasarana dan Kementerian Kewangan bagi menangani masalah perkhidmatan feri Pulau Pinang.

“Pulau Pinang dan feri adalah sangat sinonim, perkhidmatan ikonik itu ketika ini diuruskan oleh Rapid Ferry Sdn. Bhd. iaitu Special Purpose Vehicle (SPV) Prasarana melalui perjanjian yang ditandatangani pada 1 Mei 2018.

“Kerajaan Negeri sedar perkhidmatan ini perlu dipertingkatkan terutamanya dari segi kekerapan feri ketika waktu puncak, tetapi difahamkan pihak Prasarana menghadapi kekangan kewangan, justeru Kerajaan Negeri telah merancang untuk mengadakan perbincangan bagi menangani masalah ini,” jelasnya.

Dalam ucapan sama, Abdul Rahman turut memuji kedudukan kewangan Kerajaan Negeri yang stabil dan kukuh pada akhir tahun 2018.

“Bagi akhir tahun 2018, berdasarkan kepada kutipan hasil dan perbelanjaan, kedudukan rezab Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM1,074,634,369.69 berbanding RM1,092,903,127.00 (akhir tahun 2017).

“Pencapaian ini menunjukkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri adalah stabil dan kukuh, dan (pencapaian) ia juga bukti bahawa dasar Kerajaan Negeri di dalam pengurusan kewangan berteraskan CAT telah terbukti, di samping perbelanjaan secara berhemah dan berprinsip value for money,” kata beliau.

Sebagai tambahan, Abdul Rahman turut berharap agar Kerajaan Negeri memandang serius usul untuk mendirikan bangunan DUN baharu bagi keselesaan sidang serta untuk menampung jumlah ADUN-ADUN, pegawai-pegawai bertugas, para media serta keperluan-keperluan lain yang perlu untuk ditambah baik.

Selain itu, beliau juga ingin mengusulkan cadangan baharu kepada Kerajaan Negeri melibatkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri di bangunan Komtar yang telah digunakan mulai tahun 1986.

“Cadangan ini diusulkan dengan mengambilkira insiden ‘kebakaran’ yang berlaku baru-baru ini, dan telah menimbulkan suasana panik, kurang selesa dan lain-lain kelemahan yang ketara.

“Keperluan ruang kerja baharu dengan mengambil kira keperluan pertambahan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan juga menjadi faktor tambahan untuk pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan yang baharu selari dengan pembangunan semasa.

“Justeru, pada hemat saya telah tiba masanya untuk Kerajaan Negeri meneliti secara bersungguh-sungguh untuk pembinaan bangunan Dewan Undangan Negeri baharu beserta Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri secara bersama di dalam satu kompleks.

“Tapak tebus guna strategik yang akan dimiliki Kerajaan Negeri amat sesuai bagi pembangunan ini,’’ ujar Abdul Rahman.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING