TYT, isteri sertai Malam Mes Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215

Admin
TYT dan isteri merupakan antara tetamu kehormat paling utama dalam Malam Mes bersempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 pada malam tadi.

PANTAI JEREJAK – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor menjadi tetamu kehormat paling utama dalam Malam Mes bersempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 pada malam ini.

KETUA Menteri (tengah) turut sertai acara berkaitan pada malam tadi.

Bertempat di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini, turut hadir Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Y.Bhg. Puan Tan Lean Kee, Ketua Polis Negeri, Dato’ Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dan isteri, Datin Ennie Salina Roseli serta Timbalan Ketua Polis Negeri, Dato’ Fisol Salleh dan isteri, Datin Norli Ahmad.

Masing-masing diiringi oleh sekumpulan pegawai lengkap memakai ‘Sword Bearer’, ‘bagpipe’ serta dua peniup Bugler.

TYT dan isteri serta tetamu kehormat paling utama lain dalam acara perarakan masuk ke majlis berkaitan.

Dalam acara penuh istiadat, tiga paluan gong berkumandang memberi isyarat masuk kepada sekalian tetamu kehormat ke dewan utama acara disusuli perarakan masuk panji utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta nyanyian lagu Negaraku, Untuk Negeri Kita dan lagu rasmi PDRM.

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (depan, tengah) diiringi Mohd. Shuhaily Mohd. Zain (depan, kiri) serta barisan tetamu kehormat paling utama lain dalam acara berkaitan di sini pada lewat malam tadi.

Sebelum ke acara jamuan makan malam, Mohd. Shuhaily dalam ucapannya berkata bahawa seluruh warga PDRM di negeri ini memperbaharui sumpah taat setia kepada raja dan negara serta berikrar memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara terus terpelihara sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 pada tahun ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI