TYT mohon ADUN kemuka cadangan tingkatkan hasil negeri

Admin
img 20240524 wa0033

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak memohon supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memanfaatkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini untuk mengemukakan cadangan bagi meningkatkan hasil negeri.

Beliau berkata, dengan iltizam dan komitmen daripada semua pihak,
prestasi fiskal negeri dijangka akan meningkat dalam masa terdekat.

“Secara amnya, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang sentiasa menunjukkan prestasi kewangan cukup baik berbanding negeri-negeri lain.

“Hal ini kerana defisit perbelanjaan sebenar negeri masih mampu ditampung oleh baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri, sekali gus mencatat prestasi kewangan yang positif pada akhir tahun.

“Namun begitu, defisit perbelanjaan negeri tidak selamanya dapat ditampung oleh baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri sekiranya tiada peningkatan hasil yang mendadak.

“Justeru, Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan ‘Strategi Pengurangan Unjuran Defisit Negeri Tahun 2024’ di samping mempergiatkan usaha menggandakan hasil sumber pendapatan negeri,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pulau Pinang Ke-15 dekat bangunan Dewan Undangan Negeri di sini pagi tadi.

img 20240524 wa0055

img 20240524 wa0046

img 20240524 wa0052

img 20240524 wa0040

img 20240524 wa0034

img 20240524 wa0031

Pada masa sama, Tun Ahmad Fuzi turut mengingatkan barisan ADUN sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang supaya terus mematuhi peraturan dan disiplin semasa bersidang.

“Hal ini supaya perjalanan sidang DUN berjalan dengan teratur dan tertib, dengan memartabatkan nilai hormat menghormati antara satu dengan lain tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing.

“Berikanlah contoh teladan dan kepimpinan yang baik kepada rakyat dengan saling bergandingan serta bertolak ansur antara satu sama lain,” serunya.

Dalam ucapan sama, Tun Ahmad Fuzi turut memuji kepimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta jentera pentadbiran Kerajaan Negeri yang telah mengemudi Pulau Pinang dengan cemerlang.

“Saya yakin dengan izin Allah SWT, jentera pentadbiran negeri akan terus berusaha memimpin negeri berdaulat ini ke tahap persada yang lebih tinggi sebagai negeri maju yang utuh dan terkehadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa jalinan kerjasama yang erat di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui kelulusan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Ini termasuk kelulusan peruntukan yang besar kepada negeri Pulau Pinang bagi pelaksanaan beberapa projek mega seperti Transit Aliran Ringan (LRT), pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, projek Air Perak-Pulau Pinang, pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 2 dekat Bayan Lepas serta lain-lain.

“Kerajaan Persekutuan sedang memperhalusi cadangan bagi Projek Pembangunan Balai Istiadat Seri Mutiara di samping mempertimbangkan Dewan Sri Pinang untuk dinaik taraf selari dengan keperluan semasa dengan lebih berkualiti dan mengekalkan unsur estetika.

“Balai Istiadat Seri Mutiara bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah balai istiadat yang khusus dalam hal dan urusan penganjuran majlis dan istiadat rasmi Kerajaan Negeri, malah memperkasakan Institusi Diraja dan TYT sebagai payung kepada kedaulatan negeri.

“Adalah menjadi harapan kita semua, agar Kerajaan Persekutuan dapat membantu untuk merealisasikan harapan ini yang bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang tetapi negara secara amnya,” jelasnya.

Terdahulu, Tun Ahmad Fuzi menyempurnakan pemeriksaan kawalan kehormat Pasukan Simpanan Persekutuan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota dengan diiringi kor pancaragam dekat perkarangan hadapan bangunan DUN Pulau Pinang di sini.

Selain Kon Yeow, turut serta ialah Yang Dipertua DUN, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; barisan Exco Kerajaan Negeri dan ADUN serta ketua-ketua jabatan.

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pulau Pinang Ke-15 yang bermula hari ini dijadualkan berlangsung sehingga 31 Mei 2024.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD