Ubah suai hotel jadi ruangan pejabat, adaptasi situasi pandemik

Admin

SELEPAS lebih setahun COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik di negara ini, sektor pelancongan dan perhotelan antara yang paling teruk terjejas.

 

Malah, ada hotel-hotel yang sudah gulung tikar serta mula mengubah strategi operasi dengan memperkecilkan skala dan cuba meneroka peluang peniagaan dalam penjualan makanan dan minuman. Tidak kurang juga, ada yang masih mampu bertahan meskipun negara kini sudah berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

 

Wartawan Buletin Mutiara hari ini sempat menemu bual Pengurus Besar Hotel M Summit 191, Moh Wei Ken, untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian hotel berkenaan sepanjang tahun lalu hingga kini.


Terletak di tengah pusat bandar raya George Town, Hotel M-Summit 191  antara yang masih gah bertahan walaupun baru tiga tahun beroperasi.

Menurut Wei Ken, permintaan tempahan bilik hotel sememangnya menurun, secara purata kurang 10 peratus sejak berlakunya pandemik berkenaan.

 

“Kita tidak boleh berdiam diri dan tunggu, jadi kami mengambil langkah menginovasikan sembilan bilik kepada ruang pejabat yang boleh disewa seperti hotel.

 

“Bekerja kala pendemik ini memang tidak menentu, jadi pembukaan ruang pejabat seperti ini menerima sambutan yang baik bagi yang berurusan kerja di Pulau Pinang.

 

“Dalam keadaan mencabar ini kita perlu cuba perkara baharu, M Summit tidak fokus kepada ‘perang’ harga seperti yang berlaku semasa penginapan dibenarkan, sebaliknya mencari idea yang dimahukan oleh orang di luar sana,” ujar beliau ketika membawa penulis melawat ke bilik-bilik yang diubah suai khas.

Selain ruangan pejabat, sofa katil, pantri, bilik mandi, blik mesyuarat, internet berkelajuan tinggi juga disediakan untuk keselesaan pengunjung.

Kemudahan lain termasuklah pejabat maya, pencetakan, karaoke, perkhidmatan bilik, penginapan harga berpatutan, penghawa dingin 24 jam dan gimnasium.

 

Bercakap mengenai perancangan masa depan, Pengurus Komunikasi Korporat, Ng Su-Ann berkata, penambahan seperti kid rooms (bilik untuk kanak-kanak), kolam renang kaca di tingkat atas antara pelan yang sedang dirancang.

“Pengubahsuaian seperti yang kita lakukan kini juga kita akan kekalkan sekiranya pandemik ini berakhir kelak, ekoran sambutan yang menggalakkan diterima.

 

“Seperti anda tahu, M Summit juga adalah syarikat pemaju, jadi ia perlu merancang projek-projek baharu untuk memberi nilai tambah kepada perkhidmatan hotel sedia ada.

Sementara itu Eksekutif Pemasaran dan Tempahan, Noor Izwani Redzuwan berkata, tempahan untuk sewaan pejabat di M Summit bermula serendah RM20 hingga kepada RM1,800 merangkumi ruangan meja sehingga ke bilik mesyuarat.

 

Sebarang pertanyaan tentang kemudahan pejabat di hotel ini, boleh diajukan ke [email protected]. Manakala, bagi tujuan tempahan, anda boleh hubungi talian 04-296 9191 atau emel ke [email protected] atau layari laman sesawang www.summit191.com.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI