Ular bisa ditangkap pada program gotong-royong

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

SUNGAI DUA – Seekor ular berbisa berjaya ditangkap pada penganjuran program gotongroyong sepadu yang disertai kira-kira 150 penduduk sekitar Kampung Paya di sini baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Sungai Dua, Zahadi Mohammad berkata, haiwan reptilia tersebut berjaya ditangkap sekumpulan penduduk yang sedang menebang pokok-pokok dan ranting-ranting pohon yang menghalang laluan masuk ke kampung tersebut.

“Kawasan semak memang tempat tinggal ular dan haiwan berbisa, jadi bila kita adakan gotong-royong ini, kita dapat elakkan dari haiwan-haiwan tersebut menjadi kawasan semak sebagai sarang,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Program yang bermula seawal jam 8 pagi tersebut dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pajak Song dengan kerjasama Pusat Khidmat Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Sungai Dua dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ahmad Tarmizi Abdullah.

Menurut Zahadi, MPSP banyak membantu dalam menyediakan peralatan gotongroyong terutama lori dan unit menebang pokok. Malah, anggota Pertahanan Awam juga tidak ketinggalan menyertai aktiviti gotong-royong yang diadakan.

“Alhamdulillah, penduduk Kampung Paya sangat ‘supportive’, ringan tulang dan muhibbah. Masing-masing tahu tanggungjawab dalam memastikan kampung mereka sentiasa bersih, indah dan hijau.

“Semua ini demi keselamatan orang kampung juga. Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan gotong-royong kali ini,” ujar Zahadi.