Umum dialu beri idea dan pandangan maksimumkan aktiviti penggunaan pasar

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengalu-alukan idea dan pandangan semua pihak untuk ‘menghidupkan’ kegiatan ekonomi di pasar-pasar awam milikannya selepas waktu operasi.

Ahli Majlisnya, Alan Lim Wei Lun berkata, kebanyakan daripada 28 pasar awam MBPP kini hanya terhad kepada aktiviti penjajaan pasar biasa yang lazimnya tamat jam 12 tengah hari setiap hari.

“Ruang ini akan kosong dan sepi selepas itu, jadi di sini MBPP ingin memaksimumkan aktiviti penggunaan di pasar pada sebelah pagi dan juga malam.

“Justeru kita mengalu-alukan idea dan pandangan untuk sebarang pelaksanaan dan dengan cara ini diharap sedikit sebanyak mampu meringankan beban golongan yang terkesan atau hilang pekerjaan sejak pandemik COVID-19 melanda,” ujar Wei Lun kepada pemberita dalam satu sidang media di Pasar Awam Chowrasta hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng serta Ahli-ahli Majlis bagi MBPP.

Dalam pada itu, Lai Heng berpendapat bahawa Pasar Awam Chowrasta yang kini ditambah baik dengan kanopi di bahagian luar merupakan lokasi yang amat sesuai untuk pelaksanaan inisiatif berkenaan.

“Sebelum ini, MBPP juga bercadang menghidupkan suasana di tempat lain dengan aktiviti perniagaan ataupun seni seperti di ‘jejantas sotong’ Jalan Penang.

“Sekiranya ada aktiviti, ianya sedikit sebanyak turut menjadi mata dan telinga kepada MBPP untuk mengekang aktiviti vandalisme dan lain-lain,” ulasnya.

Suarakan idea dan cadangan anda menerusi e-mel: [email protected] atau hubungi talian 04-2638818.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING