Umum sambut baik SOP wajib pakai pelitup muka di tempat awam

Admin

GEORGE TOWN – Bermula 1 Ogos 2020, Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) baru yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam sesak dan semasa menaiki pengangkutan awam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 23 Julai lalu menyatakan bahawa mereka yang gagal mematuhi SOP baharu itu boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF bersama-sama jurufoto, ALISSALA THIAN meninjau pendapat umum di Pasar Awam Chowrasta dan beberapa tempat awam sekitarnya yang menjadi tumpuan ramai bagi mendapatkan pandangan masyarakat berkaitan SOP baru tersebut.

Fadhil Isa.

FADHIL ISA, 55, ketika ditemui berpendapat bahawa pelaksanaan SOP baru tersebut adalah tepat bagi mengelakkan berlakunya gelombang ketiga penularan pandemik COVID-19 seperti yang sedang dihadapi oleh beberapa negara kini.

“Apabila arahan ini dikeluarkan maka rakyat perlu patuhi tetapi bagi kami yang mempunyai masalah kesihatan seperti jantung dan asma, pemakaian pelitup muka secara berterusan agak bermasalah.

“Memandangkan arahan ini wajib maka kita kena pakailah juga walaupun bukan secara berterusan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun katanya, Kerajaan Persekutuan perlu meneliti semula penetapan harga siling bagi pelitup muka di pasaran supaya tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.

“Meskipun kerajaan menurunkan harga siling pelitup separuh muka kepada RM1.20 seunit daripada RM1.50 tetapi bagi saya harga itu masih lagi mahal bagi golongan kurang berkemampuan.

“Kerajaan juga boleh pertimbangkan untuk memberikan pelitup muka percuma khusus kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” sarannya.

Farah Azman.

FARAH AZMAN, 31, pula menyokong sepenuhnya dasar Kerajaan Persekutuan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam dan semasa menaiki pengangkutan awam demi memastikan kesihatan awam.

Katanya, SOP baru yang diperkenalkan kerajaan itu bukanlah bertujuan membebankan rakyat sebaliknya untuk menyelamatkan negara daripada dilanda gelombang ketiga wabak COVID-19 yang bakal membawa impak lebih besar terhadap negara.

“Bagi saya arahan ini adalah langkah pencegahan yang tepat kerana apabila memakai pelitup muka, kita bukan dapat mengelakkan jangkitan kepada orang lain sekiranya kita mempunyai simptom malah juga untuk melindungi diri kita daripada dijangkiti (COVID-19).

“Seperti kita sedia maklum, timbul banyak isu berkaitan arahan ini seperti pemakai akan sesak nafas dan sebagainya tetapi kita perlu mengambil langkah ini.

“Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan adalah disarankan untuk memakai pelitup muka di tempat-tempat awam yang sesak sahaja,” ulasnya yang merupakan salah seorang kakitangan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Florence Silva.

Pendapat sama juga turut diutarakan oleh FLORENCE SILVA, 53, yang menyatakan bahawa pemakaian pelitup muka ketika ini sangat penting memandangkan kes jangkitan COVID-19 di negara ini masih lagi pada tahap membimbangkan.

“Di tempat-tempat awam, pemakaian pelitup muka sangat perlu untuk mengelakkan diri kita dan orang lain daripada dijangkiti. Tidak ada masalah untuk kita semua mematuhi arahan ini demi kebaikan bersama,” kongsinya.

Sementara itu, peniaga, OOI KIN TEE, 70, memberitahu bahawa bekalan pelitup muka di pasaran masih lagi mencukupi tetapi berlaku bertambahan permintaan selepas kerajaan mengumumkan SOP baru tersebut.

Ooi Kin Tee.

“Sekarang ada pelbagai jenis pelitup muka dijual di pasaran seperti pelitup muka pakai buang dan ada juga menggunakan fabrik yang terdiri daripada fabrik kalis air (bahagian luar), penapis (di tengah) dan fabrik serap air (di dalam). Masing-masing ada permintaan tersendiri.

“Pada peringkat awal penularan COVID-19, perniagaan menjual pelitup muka amat menguntungkan tetapi memandangkan sudah ramai yang menjualnya menyebabkan permintaan kini semakin berkurangan.

“Jualan pelitup muka jenis fabrik pada awalnya kurang mendapat sambutan tetapi selepas kerajaan umum SOP baru, pelanggan mula mencari pelitup muka jenis ini kerana lebih murah dan boleh dicuci dan digunakan semula,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN