Umum tidak setuju kelonggaran rentas negeri diberikan pada Fasa 2 PPN

Admin

RATA-rata masyarakat tidak bersetuju sekiranya kelonggaran rentas negeri dibenarkan pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) ekoran umum masih diselebungi rasa takut akan penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan hari ini.

Bagi Penolong Pengurus, NOOR HANIZA ABDUL RAZAK, 37, berpendapat bahawa kelonggaran rentas negeri tidak wajar diberikan pada ketika (PPN 2) ini melainkan bagi kes-kes kecemasan sahaja.

Beliau melahirkan kebimbangan sekiranya kelonggaran tersebut diberikan akan menyebabkan tahap kebolehjangkitan di dalam negara akan terus meningkat secara lebih drastik.

“Sepertimana semua rakyat maklum bahawa kes sekarang di tahap membimbangkan, saya bimbang jika kelonggaran ini diberikan pada ketika ini ia akan menyebabkan kebolehjangkitan merebak apabila kita bergerak dari satu negeri ke negeri yang lain akan berlaku lebih pantas.

“Walau bagaimanapun, kelonggaran rentas negeri boleh dipertimbangkan sekiranya semua negeri telah mencapai peratusan tahap imunisasi atau imuniti kelompok 80 peratus ke atas, akan tetapi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu ditambah baik bagi melandaikan kes sekali gus kesejahteraan dan keharmonian rakyat terjamin semula,” ujarnya.

Menyatakan pendapat sama, R. NAYAGI, 27, yang merupakans eorang kerani menyatakan bahawa kelonggaran rentas negeri seharusnya dikekalkan memandangkan setiap negeri di Malaysia kini berada pada pelbagai tahap PPN.

“Rentas negeri tidak wajar dilaksanakan pada masa ini walaupun Pulau Pinang telah beralih ke Fasa 2 PPN, tetapi masih ada negeri yang berada di Fasa 1 dan berada di zon merah.

“Malah, kes kini telah meningkat kepada lima digit, ia akan memberikan risiko tinggi sekiranya rentas negeri dibenarkan serentak akan menyumbang kepada kes yang terus meningkat, kita semua kena bersabar dahulu,” ujarnya sambil menyatakan bahawa sudah lebih tiga bulan tidak dapat pulang ke kampungnya di Kedah.

Bagi seorang petugas penyelenggaraan, P. KANNAN, 25, beliau mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mengguna pakai kaedah tunggu dan lihat terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan rentas negeri diberikan kelonggaran.

“(Kerana) kini banyak sangat kluster dan tidak sesuai untuk membenarkan rakyat untuk bebas ke mana sahaja terutamanya rentas negeri.

“Walaupun kebenaran tersebut akan memberi nafas kepada sektor pelancongan dalam negara, namun kita perlu melihat skop yang lebih besar iaitu kebolehjangkitan yang tinggi hingga boleh merisikokan nyawa rakyat,” ujarnya.

Berbeza pendapat dengan yang lain, bagi ABDULLAH SADIQ MOHD. NASIR, 32, rentas negeri seharusnya diberikan kelonggaran sama seperti pekerja yang terpaksa berulang-alik dari satu negeri ke negeri yang lain untuk bekerja seharian.

“Saya rasa semua sudah maklumkan dan terbiasa dengan SOP, malah ramai sahaja yang bergerak merentas negeri untuk bekerja terutamanya di antara Pulau Pinang dan Kedah… kes melibatkan komuniti tidak tinggi berbanding kes dalam kelompok kilang.

“Jadi, isu rentas negeri ini tidak beri impak besar sekiranya rentas negeri diberikan,” kongsi beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF