Undi 18 buka ruang golongan belia tentukan hala tuju negara

Admin

BERTAM – Keputusan Kerajaan Persekutuan terdahulu (Pakatan Harapan) menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun adalah tepat pada masanya.

Muhammad Adam Anuar, 20, ketika ditemui berkata Malaysia wajar mengikuti langkah negara-negara maju yang membenarkan rakyat mereka mengundi seawal usia 18 dan menjadi penentu dasar dan hala tuju negara.

Belia diberikan ruang untuk mengemukakan pandangan dan cadangan berkaitan undi 18.

Dia yang baru menamatkan pelajaran peringkat diploma di Kolej Vokasional Butterworth berpendapat bahawa dalam era yang semakin terbuka ini belia berumur 18 tahun dilihat sudah matang dan cukup dewasa untuk membuat keputusan.

“Saya amat bersetuju dengan keputusan ini kerana seiring dengan dengan langkah negara maju yang benar-benar mengamalkan sistem demokrasi selain mampu mengubah mentaliti belia untuk lebih matang dan bertanggungjawab terhadap negara.

“Dalam wawasan negara untuk melangkah ke arah negara maju, pembabitan belia adalah penting kerana golongan ini mempunyai idea baru yang lebih segar.

Muhammad Adan Anuar.

“Idea-idea baru ini sekiranya digabungkan dengan pengalaman orang-orang lama dan berjaya mencari titik persamaan maka negara sebenarnya berada di landasan yang tepat untuk mencapai status negara maju,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Kempen Undi 18 Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dekat Dewan Persatuan Tiong Hua Kepala Batas pada 15 Ogos lalu.

Majlis penutupan program tersebut disempurnakan oleh Exco Belia dan Sukan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee.

Turut hadir, Pegawai Penyelaran Khas Parlimen Kepala Batas, Lay Hock Peng; Pengarah Pejabat Pilihan Raya (SPR) Pulau Pinang, K. Raveendran Nair dan Timbalan Pengarah (Operasi) Pejabat SPR Pulau Pinang, Hasrina Ma’Saud.

Dalam pada itu, Lip Chee dalam ucapannya sebelum itu menyatakan bahawa Kempen Undi 18 Daerah SPU yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengundi.

“Rakyat berumur 18 tahun mempunyai hak untuk mengundi bagi memilih Ahli Parlimen atau ADUN yang mereka rasa layak diangkat sebagai pemimpin bagi sesuatu kawasan.

Soon Lip Chee bersama-sama Lay Hock Peng dan K. Raveendran Nair menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta-peserta terlibat.

 

“Justeru, program yang dianjurkan ini adalah untuk menyalurkan maklumat lengkap supaya mereka yang berumur 18 tahun dapat memahami tanggungjawab mereka dan tahu bagaimana untuk mendaftar sebagai pemilih dan seterusnya menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi,” ujarnya lagi.

Pada program tersebut, para peserta diberi peluang mengemukakan pendapat dan cadangan berkaitan polisi kerajaan yang membenarkan had umur layak mengundi 18 tahun bagi pertimbangan SPR.

Pada 25 Julai 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF