Undi Kamal Chopra untuk UK Bhangra Awards sebelum 27 Nov. – Jagdeep

Admin

 

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo meminta netizen Malaysia terutama dari Pulau Pinang menggunakan peluang yang ada untuk mengundi Kamal Chopra dalam saingan akhir UK Bhangra Awards yang akan berlangsung pada 30 November 2019 di Birmingham, England.

KAMAL Chopra.

Beliau bersama-sama Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Yeoh Soon Hin berkata, pencalonan Kamal Chopra turut membawa nama Malaysia dan negeri Pulau Pinang ke persada anugerah berprestij di peringkat dunia.

“Beliau merupakan satu-satunya rakyat Malaysia, dari negeri Pulau Pinang yang tersenarai sebagai calon di bawah kategori Artis Antarabangsa Terbaik, bersama-sama enam pesaing lain termasuk dari Amerika Syarikat, Kanada, Dubai, Sweden dan India.

“Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) begitu bangga dengan beliau yang akan membawa kebudayaan Pulau Pinang dan Malaysia ke acara tersebut dengan tujuan untuk mempromosi lagi Bhangra, kebudayaan Punjabi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di tanah air ini,” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 19 November 2019.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat turut berharap agar seluruh media arus perdana mengambil bahagian mendorong netizen memberi undian kepada Kamal Chopra.

Bercakap pada sidang media sama, Kamal Chopra memberitahu beliau bermastautin di Pulau Pinang lebih dua dekad serta seringkali membuat persembahan dalam pelbagai acara kebudayaan termasuk berkaitan Sikh.

Mempunyai pengalaman lebih lima tahun sebagai penyanyi profesional dan berkebolehan menyampaikan lagu dalam pelbagai bahasa, Kamal Chopra memberitahu beliau ialah seorang peguam bertauliah serta ibu kepada tiga cahaya mata.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Jagdeep dan Soon Hin kerana mengaturkan sidang media yang penting ini, demi menggembleng seramai mungkin undian daripada netizen Malaysia.

Undian boleh dilakukan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ke +4407786202668 dengan memasukkan kod pencalonan Kamal Chopra UKBA 2203, sebelum tempoh undian tutup pada 27 November 2019.

Maklumat lanjut, layari http://www.ukbhangraawards.com/nominations.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD