Uniknya, kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri turut dihayati semua lapisan masyarakat negara ini

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa ‘ujian’ pada bulan  Ramadan, dan perayaan Hari Raya Aidilfitri turut dihayati semua golongan masyarakat di negara ini.

Menurut beliau, penghayatan tersebut umumnya adalah bersesuaian dengan Malaysia yang merupakan negara berbilang kaum dan agama.

“Di bulan Ramadan, umat Islam menunaikan ibadat puasa yang merupakan satu ujian, dan pada akhir bulan (Ramadan), kita sama-sama dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri yang menjadi perayaan mereka yang beragama Islam.

“Uniknya, kemeriahan tersebut juga dihayati rakyat berbilang kaum serta agama yang amat bersesuaian dengan satu negara Malaysia,” ucapnya pada Majlis Bantuan Ramadan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MICCI) Pulau Pinang dekat Lebuh Pinang di sini petang tadi.

Hadir sama, Presiden MICCI, Datuk N. Gobalakrishnan dan Naib Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Mohamed Meera Sahib serta kepimpinan MICCI.

Pada majlis tersebut, seramai 60 individu kurang berkemampuan sekitar Little India menerima bantuan barangan keperluan masing-masing bernilai RM150 serta duit raya yang disampaikan oleh Kon Yeow sendiri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dalam pada itu merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada MICCI ekoran kejayaan menganjurkan acara berkenaan untuk tahun ketiga berturut-turut.

“Saya difahamkan ini merupakan salah satu program tanggungjawab korporat sosial (CSR) MICCI, dan inisiatif ini dimulakan apabila Gobalakrishnan menerajui pucuk pimpinan pertubuhan berkenaan pada 2017.

“Berlandaskan semangat muhibah dan harmoni, acara ini telah berlangsung pada kali ketiga dalam bulan Ramadan,” jelasnya.

Menutup ucapan, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong turut merakamkan ucapan terima kasih kepada MICCI yang terus memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG