Unit kilang SME Village Batu Kawan Fasa 4A, usahawan diseru rebut peluang

Admin

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) tampil memperkenalkan inisiatif pelan pembelian mudah dalam usahanya membantu Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) negeri untuk memiliki ataupun menyewa unit kilang Projek SME Village Batu Kawan Fasa 4A, Taman Perindustrian Batu Kawan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa promosi kadar istimewa tersebut bertindak untuk menyokong perniagaan serta perusahaan PKS di negeri ini dengan mengambil kira kekangan yang dihadapi pengusaha ketika berdepan dengan situasi mencabar pasca COVID-19.

“Mengambil kira kekangan yang sedang dihadapi oleh PKS, PDC telah merangka pelan pembelian mudah dengan menawarkan pengurangan harga jualan sebanyak 15 peratus iaitu bersamaan RM561,793.50 hanya untuk tempoh enam bulan (sahaja) bermula hari ini.

“Melalui pelan ini, harga yang ditawarkan adalah RM3,183.496.50 berbanding harga asal, RM3,745,290.00 iaitu pengurangan harga jualan sebanyak RM561,793.50 sebagaimana dinyatakan,” ujarnya yang juga Pengerusi PDC pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar (Pengurus Besar PDC) dan Aziz Bakar (Timbalan Pengurus Besar PDC).

Projek SME Village Batu Kawan Fasa 4A yang merangkumi 20 unit kilang berkembar telah dilancarkan pada Disember 2017 yang mana Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) telah diperoleh pada 24 Januari 2020.

Difahamkan, masih terdapat 15 unit yang masih dibuka untuk jualan mengikut spesifikasi iaitu Semi-D (tepi) merangkumi kawasan binaan seluas 16,047 kaki persegi (kp) dan Semi-D (standard) 13,799 kp.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menyatakan bahawa Skim Sewa Beli yang dikhaskan untuk PKS membolehkan pengusaha menyewa unit kilang Semi-D untuk tempoh masa tiga tahun dengan kadar sewa bulanan RM10,500 iaitu RM1.50 sekaki persegi.

“Mereka (penyewa) diberi pilihan untuk membeli premis kilang berkenaan pada harga ditetapkan semasa perjanjian penyewaan ditandatangani.

“Selain itu, sebahagian daripada sewaan yang dibayar dalam tempoh penyewaan berjumlah RM140,000 boleh digunakan sebagai wang deposit semasa pembelian unit seperti butiran berikut:

i) 50 peratus daripada jumlah sewaan tahun pertama (RM52,500).
ii) 40 peratus daripada jumlah sewaan tahun kedua (RM50,400).
iii) 30 peratus daripada jumlah sewaan tahun ketiga (RM37,800).

“Dengan ini, Kerajaan Negeri berharap dan mengalakkan para usahawab PKS supaya merebut peluang kadar istimewa ini untuk memiliki atau menyewa premis-premis ini,” seru beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video: AHMAD ADIL MUHAMAD