Urus tadbir ‘Bersih’ ASEAN jadi impian Guan Eng, Abhisit dan Ambiga

Admin
KETUA Menteri bersalaman dengan Abhisit Vejjajiva (dua dari kiri) sambil ditemani Timbalan Menteri I, Datuk Mansor Othman (dua dari kanan), Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang (kanan sekali) dan Ketua Pegawai Eksekutif PI, Zairil Khir Johari (kiri sekali) selepas selesai Persidangan Sulung Gabungan ASEAN Untuk Urus Tadbir Bersih di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri bersalaman dengan Abhisit Vejjajiva (dua dari kiri) sambil ditemani Timbalan Menteri
I, Datuk Mansor Othman (dua dari kanan), Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law
Heng Kiang (kanan sekali) dan Ketua Pegawai Eksekutif PI, Zairil Khir Johari (kiri sekali) selepas
selesai Persidangan Sulung Gabungan ASEAN Untuk Urus Tadbir Bersih di sini baru-baru ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Persidangan Sulung Gabungan ASEAN Untuk Urus Tadbir Bersih seakan mengambil semangat Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 3.0) yang dilangsungkan pada 28 April lepas di 70 lokasi di seluruh dunia.

Demikian kata bekas pengerusi Majlis Peguam Malaysia merangkap Pengerusi Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga semasa berucappada persidangan yang dianjurkan oleh Penang Institut (PI) tersebut barubaru ini.

“(Urus tadbir) bersih adalah mengembalikan kuasa (kerajaan) kepada rakyat dan ia harus dimulakan dengan pilihan raya yang adil dan bersih.

“Jika nak kuatkan kerajaan yang bersih, perlu kuatkan demokrasi. Jika mahu kuatkan demokrasi, perlu kuatkan kerajaan yang bersih.

“Perhimpunan hari ini adalah umpama perhimpunan Bersih 3.0 bab (dalam bentuk) Asean,” ujar beliau di Hotel E & O, di sini.

Nada yang sama turut disuarakan oleh tetamu utama persidangan, bekas perdana menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva di depan hampir 200 pemimpin pelbagai peringkat dari tanah air dan rantau Asia.

“Kerajaan yang bersih dan demokrasi memang tidak dapat dipisahkan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan keharmonian.

“Di mana-mana negara sekalipun, memerlukan liberalisasi dan perubahan sistem ekonomi, manakala institusi politik perlu diurus dengan tidak mudah berputus asa.

“Disebabkan itu, persidangan ini secara khusus berbincang mengenai keperluan pada demokrasi yang kuat untuk menyokong urus tadbir kerajaan secara bersih,” ujar beliau.

Sebelum itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut menggariskan lima asas penting yang sewajarnya dikembangkan dalam setiap individu ke arah merealisasikan Pulau Pinang dan ASEAN sebagai gabungan urus tadbir kerajaan baik lagi bersih yang hakiki.

Jelas beliau, lima asas yang dipetik dari tokoh Anugerah Nobel, Amartya Sen tersebut adalah kebebasan berpolitik, kemudahan ekonomi, peluang sosial, jaminan ketelusan dan perlindungan keselamatan.

“Pembangunan yang sebenar bukan material semata-mata, tetapi mesti merujuk pada kebolehcapaian dan kewujudan peluang kepada masyarakat.

“Dengan erti kata lain, masyarakat maju sebenar merupakan salah satu dari pihak yang diberi kuasa kebebasan untuk memenuhi aspirasi dan keupayaan mereka (masing-masing).

“Urus tadbir yang baik dan bersih akan melahirkan pembangunan sosio-ekonomi positif. Institusi awam dan urus tadbir yang lemah akan memudahkan rasuah, penyelewengan sumber (dana rakyat) dan (intitusi) keadilan (mahkamah, polis, Suruhanya Pencegah Rasuah Malaysia, SPRM) sewenangwenangnya menerima campur tangan berlebihan dari kerajaan.

“Bersama-sama, kita, seluruh pemimpin ASEAN membanteras gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan menganjurkan, menggalakkan dan melaksanakan tadbir urus yang bersih,” ujarnya.