SERAMAI 16.4 juta rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) pada harga RM1.99 seliter dengan had 300 liter sebulan mulai 30 September ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kelayakan itu membolehkan rakyat membeli RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter berbanding harga tidak bersubsidi RM2.60 seliter.
Beliau menjelaskan, rakyat Malaysia boleh menikmati harga subsidi itu di stesen minyak dengan membuat pembayaran melalui aplikasi Setel, transaksi tunai, tanpa tunai di kaunter pembayaran atau terminal pembayaran automatik.
“Harga ini masih jauh lebih rendah berbanding Singapura (RM9.02 seliter) dan Thailand (RM5.68 seliter).
“Unjuran penjimatan daripada BUDI95 dianggarkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, bergantung pada harga minyak mentah dunia.
“Penjimatan ini akan digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan prasarana asas,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan BUDI95 di Stesen Minyak Petronas Jalan Raja Uda di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih, Lim Guan Eng, ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen, serta beberapa Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berpusu-pusu ke stesen minyak apabila program itu dilancarkan secara rasmi pada 30 September nanti.
Menjawab soalan pemberita, Hui Ying berkata, fasa pertama pelaksanaan BUDI95 telah dibuka semalam kepada kira-kira 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.
“Hanya dalam sehari, 20 peratus daripada mereka telah menjalankan transaksi dengan jumlah RM2.6 juta pembelian direkodkan, bersamaan 1.3 juta liter RON95 pada harga RM1.99 seliter dan urusan BUDI95 berjalan lancar tanpa gangguan,” katanya.
Menurutnya lagi, sejak 25 September lalu seramai 8.1 juta pengguna telah menyemak kelayakan mereka di laman web rasmi www.budimadani.gov.my, menunjukkan sambutan menggalakkan daripada rakyat.
Beliau menambah, Kementerian Kewangan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menyelesaikan beberapa isu teknikal terpencil berkaitan kelayakan penerima sebelum pelaksanaan penuh pada 30 September ini.
Sementara itu, tinjauan wartawan, ZAINULFAQAR YAACOB di stesen minyak berkenaan mendapati penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula menikmati subsidi berkenaan.

Seorang penerima, NUR FATINI MOHD. ADDNAN, berkata bahawa beliau hanya mengambil masa kurang dua minit untuk membuat transaksi menggunakan kad kredit dan pengesahan kad pengenalan di terminal pembayaran.
Seorang lagi penerima, M. NAGESWARAN, memberitahu bahawa pembayaran tunai di kaunter juga mudah kerana hanya perlu menunjukkan kad pengenalan.


Pemandu e-hailing, N. NAGESWARI pula menyifatkan BUDI95 sangat membantu kerana golongan pemandu e-hailing diberi pengecualian had pembelian 300 liter sebulan.
Bagi SITI SOLEHA AZAHARI, transaksi menggunakan e-Wallet Touch ’n Go juga mudah kerana hanya perlu menunjukkan kad pengenalan sebelum membuat pembelian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan stesen minyak yang membantu membuat pendaftaran bagi transaksi pertama.
