Usaha dan inisiatif semua pihak perlu dalam memacu kecemerlangan pendidikan, selaras visi Penang2030 – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mengalu-alukan usaha dan inisiatif pelbagai pihak untuk bersama-sama memacu kecemerlangan pendidikan negara termasuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi, selaras visi Penang2030.

 

Bertemakan “A Family-focused Green and Smart State that Inspires the Nation”, visi Penang2030 diluncurkan pada Ogos 2018, menjadi suatu dasar ke arah kegemilangan serta kecemerlangan Pulau Pinang.

 

Akan tetapi menurut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, visi tersebut tidak akan dapat direalisasikan tanpa penglibatan semua lapisan masyarakat termasuk para pelajar pada hari ini.

 

“Kerajaan Negeri menyedari bahawa generasi muda hari ini adalah aset masa depan negara…yang akan meneruskan kesinambungan kemajuan dan kemakmuran dinikmati kini.

 

“Maka, kita semua perlu menggembleng segala usaha dan tenaga bagi mempersiapkan generasi muda kita dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran bagi melahirkan generasi yang seimbang bukan sahaja dari segi jasmani tetapi juga emosi, rohani dan tahap intelektual yang tinggi serta berdisiplin.

 

“Hari ini, seramai 303 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan menerima pengiktirafan dan insentif tunai daripada Kerajaan Negeri atas kejayaan mereka.

 

“Syabas dan setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua kerana majlis anugerah ini merupakan penghargaan isitimewa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar,” ucapnya pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2018 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini tadi.

 

SEMBILAN pelajar istimewa turut diraikan dalam majlis berkaitan hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Sekolah Mubaligh, Chong Eng serta wakil kepada Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Hamidah Jailani.

 

Dalam pada itu, menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri tidak pernah melupakan mana-mana pelajar yang berjaya mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

 

“Hari ini, insentif sama iaitu RM1,000 kepada pelajar cemerlang STPM dan RM500 kepada pelajar cemerlang SPM akan turut diberikan kepada sembilan pelajar cemerlang kategori khas.

 

“Saya percaya, kecemerlangan para pelajar ini tidak lahir daripada usaha individu sahaja, tanpa bantuan guru dan ibu bapa, usaha mereka mungkin tidak ke mana.

 

“Syabas dan tahniah kepada para pendidik yang menunjukkan kegigihan dalam memastikan para pelajar ini mencapai kejayaan pada hari ini.

 

“(Dan) saya berharap agar anugerah yang diterima pada hari ini menjadi pemangkin kecemerlangan sekaligus menaikkan imej Pulau Pinang dalam usaha membawa negeri mencapai visi Penang2030,” serunya.

 

ANTARA pose yang sempat dirakam lensa Buletin Mutiara.

Difahamkan, seramai 52 pelajar cemerlang STPM menerima insentif tunai berjumlah RM1,000 berserta sijil penghargaan dan RM500 serta sijil penghargaan bagi 251 pelajar cemerlang SPM bagi tahun 2018.

 

Turut menerima pengiktirafan adalah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian, George Town yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Sekolah Terbaik STPM bagi tahun 2018 diikuti oleh SMJK Jit Sin, Bukit Mertajam (kedua) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al- Irshad, Kepala Batas (ketiga).

 

Manakala bagi SPM pula, SMJK Jit Sin diumumkan sebagai Sekolah Terbaik diikuti oleh Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas (kedua) dan SMKA Al-Irshad (ketiga).

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI