Usaha kurangkan penghasilan karbon, MPSP terima Pengiktirafan Diamond

Admin

SEBERANG JAYA – Kejayaan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengurangkan penghasilan karbon sebanyak 4.95 peratus melayakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan menerima anugerah Pengiktirafan Diamond (Diamond Recognition) bagi Rangka Kerja Bandar Raya Rendah Karbon (LCCF).

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program tersebut dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim (MESTECC) dengan kerjasama Malaysia Green Techology Corporation.

Rozali menunjukkan aplikasi Seberang Perai Carbon Calculator yang dilancarkan MPSP sebagai salah satu usaha mengurangkan penjanaan karbon.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan bertujuan membantu bandar-bandar di negara ini untuk mengukur kadar pelepasan karbon.

“MPSP merupakan agensi terawal menyertai program LCCF yang bermula sejak tahun 2016 dan pada 13 Oktober tahun lalu, MPSP menerima pengiktirafan Sijil Sementera LCCF (Provisional Certificate LCCF) atas kejayaan mengumpul maklumat asas (baseline assessment).

“Susulan kejayaan itu, MPSP akan melaksanakan pelbagai usaha lagi bagi memastikan pengurangan karbon yang signifikan terhasil di Menara MPSP seperti pengurusan tenaga yang efisien, pemasangan panel solar, program penanaman pokok, pengurangan penjanaan sisa dan lain-lain lagi.

“Hasil usaha ini membolehkan MPSP mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 77.30 tan karbon dioksida,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh di Pejabat MPSP, dekat Bandar Perda pagi ini.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP serta Ketua-Ketua Jabatan.

Difahamkan, anugerah tersebut disampaikan semasa berlangsungnya International GreenTech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia 2018 (IGEM 2018) yang berlangsung pada 17 hingga 20 Oktober lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Laporan pencapaian sukuan ketiga yang mengandungi 54 program yang dilaksanakan MPSP sepanjang tiga bulan sejak dari Julai hingga Ogos tahun ini.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memberitahu bahawa pihaknya bakal melancarkan ‘Seberang Perai Carbon Calculator’ yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penduduk Seberang Perai mengenai pelepasan karbon yang dijana mereka.

“Melalui kaedah ini, warga Seberang Perai dapat mengetahui kadar pelepasan karbon yang dijana mereka sekaligus dapat memikirkan kaedah yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan pelepasan tersebut.

“Ia (Seberang Perai Carbon Calculator) boleh dicapai melalui laman sesawang MPSP dan juga melalui aplikasi MyMPSP,” ujarnya lagi.

Selain itu, beliau menjelaskan, MPSP juga mengeluarkan laporan pencapaian sukuan ketiga 2018, Keutamaan Korporat Seberang Perai yang diterbitkan dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS