GEORGE TOWN – Pendekatan komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (Communication, Education and Public Awareness – CEPA) terus diperkasa bagi meningkatkan kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi risiko banjir.
Menurut Pegawai Daerah bagi Daerah Timur Laut (DTL), Ismasuhaimi Shariff , perubahan iklim global, fenomena hujan ekstrem, pembangunan bandar yang pesat serta perubahan guna tanah menyebabkan risiko banjir kilat semakin meningkat, khususnya di kawasan bandar.
“Justeru, agensi-agensi kerajaan bukan sahaja memberi penekanan kepada pembinaan infrastruktur tebatan banjir, malah turut memperkukuhkan aspek pengurusan risiko bencana secara menyeluruh melibatkan ramalan, amaran awal, pendidikan masyarakat, kesiapsiagaan komuniti serta pemulihan pasca bencana.
“Banjir bukan lagi bencana bermusim semata-mata. Sebab itu kerajaan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pembinaan infrastruktur tebatan banjir, tetapi turut memperkukuhkan pengurusan risiko bencana secara menyeluruh melibatkan aspek ramalan, amaran awal, pendidikan masyarakat dan kesiapsiagaan komuniti,” ujar Ismasuhaimi pada Kempen Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) Ramalan dan Amaran Banjir dekat Masjid Hashim Yahya, Datuk Keramat di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengarah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ir. Mohamad Suaimi Ramli; Pengarah, Pejabat Pertahanan Awam Negeri Pulau Pinang, (KOL) (PA) Lokman Hakim Abdul Rahman; Pengawai Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia, Mohd. Kamarul Huda Samion dan Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pulau Pinang, Dr. Muhammad Faizal Pakir Mohamed Latiff.
Dalam perkembangan berkaitan Ismasuhaimi berkata, pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah berjaya mengurangkan impak banjir di kawasan berkenaan, namun kejayaan tersebut memerlukan sokongan berterusan daripada masyarakat.
“Secanggih mana sekali pun sistem ramalan dan amaran banjir yang kita bangunkan, ia hanya akan memberi impak sekiranya masyarakat memahami maksud amaran yang diterima serta mengetahui tindakan yang perlu dilakukan.
“Komuniti memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan usaha ini berjaya,” katanya.
“Sikap menjaga kebersihan sungai dan sistem perparitan merupakan antara faktor utama dalam mengurangkan risiko banjir kilat.
“Jangan harapkan kerajaan semata-mata, kita telah menyediakan pelbagai infrastruktur, sistem amaran awal dan kemudahan pam, tetapi jika longkang dipenuhi sampah dan pam tersumbat dengan bahan buangan, ia tetap boleh menyebabkan banjir, kerjasama komuniti amat penting dalam memastikan sistem ini berfungsi dengan baik,” tegasnya lagi.
Difahamkan program tersebut bukan sekadar menyampaikan ceramah, malah melibatkan latihan simulasi (tabletop exercise), simulasi pemindahan mangsa, pemetaan komuniti, dialog bersama agensi teknikal serta pengumpulan maklum balas daripada penduduk.