Usaha senaraikan Ghazal Parti, Boria dan Chingay sebagai Warisan Dunia UNESCO tetap diteruskan – Exco

WONG Hon Wai (dua dari kanan) diiringi Omar Md. Hashim (kanan sekali) dan Nuraini Mat Doa (kiri sekali) menyampaikan Anugerah Penggiat Ghazal Parti kepada Azmi Mat Taha sempena penganjuran Pesta Ghazal Parti di pasar raya mega Mydin Bukit Mertajam di sini pada 14 Oktober 2023.

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang hari ini akan terus berusaha menyenaraikan Ghazal Parti, Boria dan Chingay sebagai warisan tak ketara dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata demikian semasa acara perasmian penutup Pesta Ghazal Parti di pasar raya mega Mydin Bukit Mertajam pada 14 Oktober 2023.

“Seperti boria, Ghazal Parti juga berpotensi untuk diangkat sebagai Warisan Negeri, Warisan Kebangsaan dan Warisan Dunia UNESCO yang dikenali sebagai ‘Representative list of The Intangible Cultural Heritage’.

“Usaha untuk penyenaraian Ghazal Parti, Boria dan Chingay sebagai warisan dunia ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam usaha melindungi warisan budaya tidak ketara (intangible) di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Sehingga kini, Hon Wai memberitahu bahawa makyong, dondang sayang, silat, pantun dan wangkang merupakan enam seni persembahan kebudayaan dari Malaysia yang telah berjaya diangkat sebagai warisan dunia UNESCO.

Menurutnya lagi, Songket Malaysia turut diberi status dunia pada tahun 2022, manakala kebaya pula dijanjikan akan mendapat status pengiktirafan yang sama daripada UNESCO pada tahun hadapan.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pesuruhjaya Warisan Negeri, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Penerangan Negeri, Mutiara FM, Omara Production dan Pengurusan Mydin yang menjadi tunjang utama di sebalik penganjuran Pesta Ghazal Parti 2023.

Wakil penganjur, Omar Md. Hashim atau dikenali dengan panggilan Omara yang berucap sebelum pada itu berkata Pesta Ghazal Parti 2023 ini dilaksanakan dengan bantuan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) – di bawah Bajet 2023 Pusat – daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); seperti dimohon Omara Production.

Wakil Jabatan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang, Nuraini Mat Doa turut sertai majlis tersebut.

Serentak pada majlis sama, Hon Wai turut menyampaikan replika cek kepada barisan tokoh Ghazal Parti yang selama ini gigih memelihara dan memulihara warisan tidak ketara negeri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT