Usahawan PKS akan terus diperkasa menerusi pelbagai inisiatif – Kon Yeow

Admin
img 20240320 wa0088

SUNGAI ACHEH – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memperkasakan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini dalam mengukuhkan lagi ekonomi negeri serta negara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pelbagai bantuan dan inisiatif telah dilaksanakan melalui jabatan serta agensi terlibat terutamanya dalam mempromosikan produk secara dalam talian.

“Inisiatif ini adalah bagi memastikan para usahawan tidak hanya bergantung kepada penjualan secara fizikal semata-mata.

img 20240320 wa0092

img 20240320 wa0096

img 20240320 wa0090

img 20240320 wa0075

 

“Seperti yang sedia maklum, Pulau Pinang terkenal dalam industri elektronik dan pembuatan, malah berjaya merekodkan aliran masuk pelaburan tertinggi dalam negara pada tahun 2023 berjumlah RM71.9 bilion.

“Biarpun rekod didorong oleh kemasukan pelaburan langsung asing (FDI), kerjasama antara PKS tempatan juga turut menyumbang kepada kemeriahan landskap ekonomi negeri,” katanya semasa berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa Wilayah (KDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dekat Masjid Al Amin dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri KDW, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDW, Datuk Murad Sayang; Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Rosli Isa; Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol; Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Dato’ Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin dan ramai lagi.

Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan bantuan Ramadan berjumlah RM20,000 kepada 200 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz dengan setiap daripada mereka menerima RM100.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 160 Komuniti Desa Madani (KDM) Pulau Pinang yang berperanan merancang dan melaksana projek serta program di kampung dengan peruntukan sebanyak RM6,937,500 bagi tahun 2024.

Dalam sidang media selepas itu, Ahmad Zahid menyatakan bahawa KDW akan memberi perhatian kepada pembangunan Halal Food Park dekat Kubang Menerong, Tasek Gelugor melalui peruntukan tambahan kepada PERDA berjumlah RM52 juta.

“Apa yang dilakukan oleh PERDA adalah sejajar dengan perancangan Majlis Halal Malaysia dipengerusikan oleh saya sendiri yang mana kita akan selaraskan aktiviti ini di setiap negeri.

“Dengan infrastruktur dan sokongan amat baik yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang selain penerokaan pasaran, industri halal dilihat mempunyai potensi pengembangan yang cukup baik,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS