Utamakan keselamatan dan kesihatan rakyat, usul pengosongan kerusi ADUN ditangguhkan – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Pembentangan usul bagi mengisytiharkan kekosongan empat kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak menukar parti politik akan ditangguhkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang bermula 12 Oktober ini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa keputusan penangguhan dibuat melalui Mesyuarat Exco semalam, setelah mengambil kira situasi krisis kesihatan semasa dan demi keselamatan serta kesihatan rakyat Pulau Pinang.

 

“Setelah melihat peningkatan kes baharu COVID-19 yang direkodkan di seluruh negara susulan pilihan raya di Sabah, maka dalam waktu sukar ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil keputusan untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat dahulu.

 

“(Dan) Kerajaan Negeri percaya bahawa usul ini bakal dibentangkan pada persidangan DUN akan datang atau apabila keadaan kembali pulih bagi membolehkan pilihan raya kecil (PRK) dilakukan tanpa membahayakan kesihatan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar, tengah hari ini.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang yakin sekiranya usul tersebut dibentangkan pada persidangan DUN kali ini, ia akan dibahaskan secara ekstensif.

 

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga percaya usul ini akan mendapat sokongan majoriti yang mana sekiranya diterima, maka pilihan raya kecil perlu dilakukan bagi mengisi kekosongan kerusi dalam tempoh dua bulan.

 

“Oleh demikian, berpegang kepada prinsip utama, demi keselamatan dan kesihatan rakyat, usul ini ditangguhkan,” katanya.

 

Terdahulu, pada 12 Ogos 2020, Kon Yeow mengumumkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang akan membentangkan usul tersebut bagi mengisytiharkan kekosongan empat kerusi ADUN membabitkan kawasan Seberang Jaya (Dr. Afif Bahardin); Sungai Acheh (Zulkifli Ibrahim); Bertam (Khaliq Mehtab Mohd Ishaq) dan Teluk Bahang (Zolkifly Md. Lazim).

 

Difahamkan, keputusan pembentangan usul adalah selaras dengan Perkara 14A(1) Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan 2012) yang memperuntukkan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya :
(a) Setelah dipilih sebagai calon daripada satu parti politik, dia melepaskan atau dilucutkan keahliannya atau berhenti daripada menjadi ahli politik tersebut atas apa-apa jua sebab; atau
(b) Setelah dipilih sebagai calon yang bukan daripada satu parti politik, dia menyertai suatu parti politik.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NORAZIS