Utamakan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat, seru Datuk Bandar

Admin

PANTAI JEREJAK – Penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), ZARINA OTHMAN, 34, memuji sikap Datuk Bandar yang menghargai kakitangannya dengan menzahirkan sendiri penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan baru-baru ini.

Katanya, apabila majikan benar-benar prihatin akan kebajikan serta pengorbanan kakitangan, sebagai pekerja beliau berasa seronok dan rasa dihargai.

“Rasa seronok dan dihargai sebab majikan serta kerajaan memang mengambil berat terhadap pekerja.

“Tambahan, anugerah (perkhidmatan cemerlang) ini akan menaikkan lagi semangat untuk bekerja meskipun pernah terpalit dengan kes viral penghinaan orang awam yang bertindak membaling wang ketika saya mengapit tayar kenderaannya kira-kira dua tahun lalu,” ujar ibu kepada tiga anak tersebut kepada wakil Buletin Mutiara pada Majlis Penghargaan Pesara & Anugerah Cemerlang 2018 di sini 15 Mei lalu.

Zarina yang telah bertugas lebih 11 tahun sebagai penguatkuasa memberitahu, kejadian provokasi tersebut sedikitpun tidak melemahkan semangat juang dirinya, sebaliknya beliau yang bekerja dalam kalangan lelaki menganggap ia sebagai satu cabaran.

“Kerja dalam kalangan kebanyakannya lelaki adalah agar mencabar, kita kena menyesuaikan diri… kerana bayangkan dalam 300 penguatkuasa lelaki, anggaran hanya tak sampai 30 orang adalah wanita.

“Jadi, semangat kerjasama dan bergabung tenaga perlu sentiasa diterapkan kerana setiap penguatkuasa perlu menimba pengalaman di semua unit yang ditugaskan,” ujarnya lanjut sambil melahirkan rasa syukur di atas penghargaan diterima.

Manakala, bagi seorang pesara yang turut menerima anugerah penghargaan, ABDUL WAHAB MASTANI, 60, meskipun bekerja sebagai pekerja awam di MBPP, beliau bagaimanapun berasa amat bersyukur.

“Dulu susah, gaji tak sampai RM200.

“Dah biasa dengan kerja-kerja kampung, dapat kerja dengan MBPP masuk longkang pun tak jadi masalah… sebab dah biasa,” ujarnya yang juga pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ketika masih di dalam perjawatan bersama MPPP kira-kira 40 tahun lalu.

Pada majlis tersebut, seramai 232 pegawai dan kakitangan MBPP menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 dan penghargaan pesara (95).

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang dalam ucapan perasmiannya menyatakan penghargaan beliau kepada seluruh warga kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut selama ini dalam membantu melonjakkan nama MBPP ke suatu tahap yang lebih tinggi.

“Anda semua merupakan nadi kepada MBPP, you are the backbone of MBPP, we are where we are because of you! Saya faham cabaran yang anda semua hadapi, dan saya akan sentiasa prihatin terhadap keperluan serta tindakan yang perlu diambil untuk menaikkan lagi nama MBPP.

“Terima kasih kerana sentiasa bekerja keras bagi memastikan Pulau Pinang sentiasa bersih dan cemerlang, kita akan sentiasa berusaha, bekerja keras untuk memastikan negeri ini sentiasa bersih serta cemerlang,” ujarnya.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MBPP.

Pada masa sama, Tung Seang turut mengingatkan semua warga kerjanya agar sentiasa mementingkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

“Kerja keras, berani memberikan perkhidmatan lebih daripada yang ditugaskan, sentiasa berazam untuk mempelajari kemahiran baru, anggaplah kita sebagai satu keluarga dan buat yang terbaik sebagai satu pasukan, jujur dan telus,” seru beliau.