UTC George Town @Komtar dijangka buka Julai atau Ogos – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Pulau Pinang dekat Lebuh Pantai akan memindahkan operasi perkhidmatan sepenuhnya ke Pusat Tranformasi Bandar (UTC) George Town yang dijangka dibuka pada bulan Julai atau Ogos ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa beberapa agensi lain seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Klinik Kesihatan – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negeri (PTPTN), Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut akan beroperasi di pusat perkhidmatan awam bersepadu Persekutuan tersebut dekat Komtar kelak.

“Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memilih Komtar dan PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) sebagai rakan pelaksana projek UTC George Town, Pulau Pinang,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak pemajuan projek tersebut di sini pada 29 Mei 2020.

KAUNTER informasi di UTC George Town @ Komtar di sini, rekabentuk dan dekorasi dalaman dengan warna tema negeri Pulau Pinang.

Turut serta, Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Seni, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri dan Pengurus Besar PDC, Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar.

Kon Yeow memberitahu bahawa pihaknya berharap pembukaan UTC George Town bukan sahaja akan menyemarak lagi aktiviti perniagaan di lot-lot kemersial di Komtar, bahkan turut membawa limpahan ekonomi di kompleks yang menjadi mercu tanda kemajuan negeri ini.

“Kita harap (pembukaan UTC George Town) ini akan menjadi pemangkin pada ruang-ruang komersial di tingkat 2 serta 3 yang secara tidak langsung Komtar akan kembali dikunjungi orang ramai termasuk mereka yang datang ke pejabat-pejabat (UTC George Town) kelak.

“Diharapkan UTC George Town akan membawa ramai pengunjung ke sini yang pada masa sama mewujudkan impak diharapkan iaitu menghidupkan semula ruang komersial khusus di kawasan ini (tingkat 2 dan 3) serta juga keseluruhan kawasan Komtar jua.

“Kita menunggu proses permohonan pasport dan kad pengenalan pertama dikeluarkan dari sini (UTC George Town) menjelang bulan Julai atau Ogos nanti,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Difahamkan projek Persekutuan bernilai RM10.38 juta tersebut sepatutnya siap pada 2 Mac lepas, tetapi dilanjutkan tempoh sehingga 25 Jun dengan mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini.

Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MED), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jobs Malaysia merupakan antara 13 agensi Persekutuan yang akan membuka operasi perkhidmatan awam di UTC George Town.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong menyatakan bahawa tahap kemajuan kerja sehingga 28 Mei 2020 adalah 96.84 peratus siap.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALVIE CHENG
Video : LAW SUUN TING